Thursday, October 10, 2019

Bagaimana Cara Membeli Syiling Kijang Emas di Maybank?

Mungkin ramai antara kita yang berminat atau sedang berjinak-jinak untuk membeli syiling emas. Tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan langkah pertama. Di sini, saya kongsikan sedikit pengalaman pertama semasa membeli emas. Semoga dengan pengalaman saya ingin, pembaca dapat mendapat sedikit pengetahuan bagaimana untuk meneruskan langkah seterusnya. Mungkin pengalaman saya ini berbeza daripada apa yang anda pernah dengar atau alami.

Baiklah, sebelum membeli emas, pastikan anda telah membaca dan mendapatkan sedikit maklumat berkenaan pelaburan emas. Semoga dengan sedikit pengetahuan itu, dapat membantu anda membuat pertimbangan.

Sebelum ini aku pernah post cara yang sama tetapi dengan agak terperinci. Boleh baca di sini.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda buat/sediakan sebelum membeli emas. Saya ringkaskan kepada empat (4):-

(1) Buka lamanweb Maybank (klik here)


Klik pada lokasi dan lihat Cawangan yang Terdekat dengan anda. Ini adalah untuk memudahkan anda untuk pergi membeli.

Klik pada harga emas hari ini. Tentukan kuantiti dan jenis emas yang anda mahu.

(2) Hubungi Maybank untuk memastikan jenis dan kuantiti emas yang anda mahu terdapat di dalam stok.

(3) Sediakan wang secukupnya mengikut harga emas pada hari ini. Bayaran boleh dibuat melalui Maybank2u atau Kad semasa di kaunter.

(4) Bawa Kad Pengenalan (Wajib!).

Senang bukan! Jadi, jangan berlengah lagi. Belilah emas sekarang untuk pelaburan masa depan anda. InsyaAllah.

Jangan lupa simpan resit asal pembelian dan jangan sesekali buka bungkusan emas tersebut.

Semoga bermanfaat.



Monday, October 7, 2019

Travel - Gua Batu Maloi

Penjelajahan Gua Batu Mali di Negeri Sembilan ini merupakan outing kali kedua bagi aku pada tahun ini. Aku pun sebenarnya tidak sangka kalau-kalau berkesempatan untuk outing sebegini. Tetapi di atas faktor persahabatan dengan beberapa orang kenalan lama, minat untuk menjelajah alam sekitar tercapai juga.

Sedikit coretan buat pembaca yang mungkin mencari maklumat atau membaca pengalaman beberapa penjelajah sebelum meneroka Gua Batu Maloi sebagai panduan.

Untuk makluman, Gua Batu Maloi merupakan sebuah taman eko-rimba dan ianya adalah sebuah lembah yang terletak di antara dua gunung iaitu Gunung Datuk dan Gunung Tampin di dalam Daerah Tampin, Negeri Sembilan. Kalau diperhatikan sebenarnya Gua Batu Maloi bukan sebuah gua, tetapi ianya merupakan susunan bongkah batu-batu dan terdapat sungai yang mengalir di bawahnya.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari laman web Jabatan Perhutanan:
http://forestry.ns.gov.my/index.php/my/info-jabatan/pelancongan/taman-eko-rimba/batu-maloi

Selamat menjelajah!

Skrip - Di Bawah Jejambat


FADE IN:

EXT. UNDER FLYING OVER – EVENING

AHSAN (31) sederhana tinggi, berambut kemas, sedikit boroi, memakai baju hujan. Membetulkan topi keledar dan menyapu sisa hujan pada cermin topinya.

Dia menolak motosikal Honda Wave membetulkan kedudukan ke dalam untuk memberi laluan kepada motosikal yang lain.

Keadaan hujan masih lebat. Sesekali kilat menyambar.

AHSAN
Aduhai, dah pukul 7.

Seorang penunggang lain merapati AHSAN

PENUNGGANG 1
Hujan lebat bang!

AHSAN
Itu la. Harap-harap cepat la reda.

PENUNGGANG 1
Balik mana bang?

AHSAN
Klang.

PENUNGGANG 1
Owh yeke. Jauh lagi tue. Saya balik Sungai Besi.

AHSAN
Biasa la bang. Dapat rumah kat sana. Jauh tue terpaksa la bang, nak cari rezeki.

PENUNGGANG 1
Rumah area KL nie kita tak mampu bang. Nak sewa pulak mahal.


AHSAN pandang ke atas. Jauh ke sebelah kanan highway. Ada deretan bangunan tinggi yang hanya sedikit kelihatan kerana lebatnya hujan. Kereta masih bersusun di kiri dan kanan highway.

AHSAN teringat pesan isterinya, MIRA untuk membeli susu anaknya yang baru berusia setahun.

MIRA
Abang. Balik nanti jangan lupa belikan susu. Ingat tau.

AHSAN
Ya ingat.


FADE IN:

INT. RUANG TAMU – NIGHT

Telefon bimbit MIRA berdering dengan lagu “Hidup Dalam Mati”. Tertera nombor telefon yang tidak dikenali.

MIRA yang sedang duduk di dapur segera ke ruang tamu mencapai telefon.

MIRA
Hello.

PEMANGGIL
Assalamualikum Puan. Boleh saya bercakap dengan isteri Encik Ahsan Bin Aziz.

MIRA
Ya. Saya bercakap.

PEMANGGIL
Puan, saya Koperal Muhammad. Buat panggilan dari Trafik Bukit Aman. Saya nak bagitau suami Puan telah kemalangan. Puan boleh segera ke Hospital Kuala Lumpur.

Telefon bimbit terlepas dari tangan MIRA dan terhempas ke lantai.

Wajah MIRA kebingungan. Air mata mula mengalir ke pipi.

FADE OUT:



RIZUL RAHIM
Email: hellorizul@gmail.com

Copyright (c) 2019. This script may not be used or reproduced without the express written permission of the author.

Friday, April 12, 2019

Sistem Pengurusan Pembiayaan LPPSA

Pada 8 Mac yang lalu, LPPSA telah mengeluarkan Notis Makluman mengenai penutupan SPPB berkuatkuasa pada tarikh notis untuk memberi laluan kepada sistem baru yang sedang dibina.

Oleh itu, pada 1 April, LPPSA telah memaklumkan bahawa sistem yang baharu iaitu Sistem Pengurusan Pembiayaan boleh diakses mulai jam 8.00 pagi pada tarikh yang sama. 



Bagi pengguna sedia ada, boleh membuat semakan pembiayaan di alamat berikut:


Semua pengguna sama ada yang baru atau sedia ada boleh merujuk panduan yang disediakan oleh LPPSA.


Sekian, semoga bermanfaat.

Wednesday, April 3, 2019

Israk dan Mikraj



Pada 27 Rejab bersamaan 3 April yang lalu merupakan ulangtahun kepada peristiwa besar dalam Islam dan bagi umat Islam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

Secara asasnya, Israk bermaksud perjalanan Rasululllah s.a.w. dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Palestin. Mikraj bermaksud perjalanan naik Rasulullah dari Masjidil Aqsa, Palestin ke Sidratul Muntaha.

Dalilnya:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Jurusalem), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Isra':1)

Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-12 selepas kenabian Rasulullah iaitu ketika baginda berumur 52 tahun.

Ketika Rasulullah menceritakan kisah perjalanan Israk dan Mikraj, para sahabat yang mendengar agak ragu-ragu, manakala Abu Jahal pula mencabar baginda supaya kisah itu diceritakan kepada komuniti Mekah secara langsung di atas bukit Abi Qubais. Semasa diceritakan kepada masyarakat Mekah, yang beriman rasa ragu-ragu manakala yang tidak beriman mengejek dan mentertawakan Rasulullah.

Bilamana Abu Jahal memberitahu Abu Bakar mengenai kisah itu, Abu Bakar segera mempercayainya dan tidak berasa ragu. Malah Abu Bakar segera ke Bukit Abi Qubais untuk bertemu dengan Rasulullah untuk mendengar secara langsung dari mulut baginda yang mulia.


Wednesday, March 27, 2019

Apa itu Kad BigPay?


Pengenalan

Kita sudah biasa mendengar mengenai Kad Kredit atau Kad Debit. Kad Kredit adalah kad yang boleh digunakan untuk apa-apa jenis pembayaran secara kredit (berhutang) iaitu tidak semestinya kita mempunyai tunai di dalam akaun bank tersebut. Hutang tersebut boleh dibayaran secara sekaligus atau secara ansurans. Namun begitu, kad kredit mempunyai had (limit). Manakala Kad Debit adalah kad yang boleh digunakan untuk apa-apa jenis pembayaran dengan syarat akaun simpanan bank kita mestilah mempunyai baki yang mencukupi.

Selain kedua-dua kad tersebut terdapat jenis kad yang semakin trending iaitu Kad Prepaid. Kad Prepaid yang popular adalah Kad Touch N Go. Kad ini boleh digunakan dimana-mana kaunter yang mempunyai khidmat bayaran melalui Touch N Go. Pemilik kad hendaklah memasukkan (topup) duit ke dalam kad sebelum boleh digunakan. Kad Prepaid tidak mensyaratkan pemiliknya untuk mempunyai akaun simpanan bank. Justeru, tiada kaitan antara akaun bank dan akaun kad prepaid.

Kad BigPay secara asasnya adalah sekeping kad prepaid yang berfungsi sebagai e-wallet bermaksud kita boleh membuat bayaran dimana-mana kaunter (dengan syarat terima kad, MasterCard atau payWave) dengan menggunakan kad BigPay sahaja tanpa membawa dompet/wallet kita atau duit tunai.

Syarat Mendaftar

- Ada Kad Pengenalan
- Ada No. Telefon
- Ada Duit
- Ada Muka

Cara Mendaftar (Pendaftaran PERCUMA!)

1. Muat turun (download) aplikasi BigPay;
2. Masukkan No. Telefon; Kod verifikasi akan dihantar ke no. telefon yang didaftarkan;
3. Masukkan Kod Verifikasi;
4. Masukkan Kata Laluan;
5. Masukkan Maklumat Terperinci yang diminta; Jangan lupa masukkan kod rujukan (referral code) ini iaitu: IVVLHCIKDN; Akaun anda akan ditambah RM10.00 kerana memasukkan kod referral. So jangan lupa masukkan kod;
6. Masukkan alamat rumah yang sah. Kad akan dihantar ke alamat yang didaftarkan tersebut;
7. Buat bayaran prepaid RM20.00;
8. Buat pengesahan identiti iaitu tangkap gambar IC dan selfie (muka korang jangan muka member);

Dalam tempoh 3-7 hari, kad akan dihantar ke alamat yang didaftarkan. 

Jangan lupa daftar kad selepas menerima kad. 

Masukkan no. keselamatan kad dan no. PIN dan link ke akaun BigPoint Air Asia anda. Kad siap untuk digunakan.

Kelebihan BigPay

- Pendaftaran PERCUMA;
- Setiap transaksi akan diberi point. Topup RM50 = 1 point, Transaksi RM20 = 1 point;
- Tiada sebarang caj penggunaan sama ada di kedai, restaurant, online di dalam dan luar negara;
- Kad ini link dengan BigPoint, so boleh redeem point untuk pembelian tiket Air Asia dsb;
- Tiada yuran tahunan;
- Dapat tukaran wang asing yang menyemai harga pasaran atau lebih murah;
- Boleh digunakan di ATM seluruh dunia (ada fee setiap pengeluaran: RM6-tempatan, RM10-luar negara)
- Boleh gunakan apps BigPay untuk lihat sejarah penggunaan (history payment) dan boleh buat analisa perbelanjaan;

Lain-lain

- Hati-hati juga kerana kad BigPay perlu diaktifkan sepanjang masa. Sekiranya tidak aktif dengan apa-apa transaksi yang melebihi sebulan, anda akan dikenakan caj RM2.50 setiap bulan. 

- Setiap kad yang hilang/diganti semula akan dikenakan caj RM20.00
- Pindahan duit card-to-card: FREE
- Card cancellation: FREE

Referral code: IVVLHCIKDN

Sekian, semoga bermanfaat.

Wednesday, March 20, 2019

Ibadah Umrah



Pengenalan

Umrah secara umumnya disebut sebagai "Haji Kecil" merupakan salah satu ibadah yang diwajibkan kepada setiap orang Islam (muslim), sekali seumur hidup.

Bacaan lengkap mengenai haji dan umrah boleh didapati di portal berikut:

Hukum menunaikan haji dan umrah sebagaimana yang telah ditetapkan adalah seperti link berikut:

Tujuan tulisan ini adalah untuk memberitahu kepada pembaca mengenai ibadah umrah dengan seringkas dan dalam bahasa yang mudah. 

Penulisan juga adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa mengerjakan umrah sebelum ini. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai hukum-hakam, syarat2 dan sebagainya. 

Cukup sekadar maklumat ringkas mengenai persediaan yang diperlukan dan apa langkah pertama untuk menunaikan ibadah umrah.

Saya tidak memasukkan perihal ziarah ke tempat bersejarah dan ziarah Madinah.

Persediaan Sebelum Mendaftar Umrah

- Ada duit. Tak cukup duit, boleh pinjam dengan bank. Kadar pakej umrah biasanya RM5,500 - RM6,000 bagi bilik berempat. Kene sediakan duit belanja tambahan.
- Ada passport sah dan aktif tempoh sahlaku sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh mengerjakan umrah.
- Sihat. Nanti tidaklah menyusahkan orang sebelah. Kalau tak sihat, kene sediakan duit lebih untuk upah tukang tolak kerusi roda.
- Kursus. Tidak wajib tetapi jangan angkuh dengan tidak berkursus. Apa-apapun kene ada ilmu.

Langkah Pertama

1. Kenalpasti agensi umrah. Alhamdulillah, di Malaysia, banyak agensi umrah yang menyediakan khidmat umrah. Semak agensi berdaftar dan sah di laman portal Jauhar
2. Isi borang pendaftaran umrah. Pastikan dokumen sokongan dibawa bersama iaitu passport dan gambar (4 keping)
- Nota: syarat gambar - saiz 6cm x 4cm, latar belakang putih, tidak menutup kepala (lelaki), tudung warna gelap (biasanya hitam) bagi wanita.
3. Bayar Deposit. Kebiasaannya, deposit RM300.00 hendaklah dibayar semasa pendaftaran umrah. Deposit tersebut akan digunakan oleh agensi untuk memohon Visa Umrah.
4. Dapatkan suntikan vaksin khusus untuk umrah di klinik-klinik. Anggaran harga: RM130 - RM170.
5. Berkursus.

Kursus Umrah

- Tidak wajib tetapi hendaklah ada ilmu mengenai ibadah umrah.
- Kursus umrah hanya memakan masa 2 hingga 3 jam sahaja. Kalau tak sempat, boleh pergi banyak kali.
- Kursus umrah adalah PERCUMA.
- Boleh sertai mana-mana kursus umrah, tidak semestinya dengan agensi yang kita daftar.
- Tiada exam.
- Sesetengah agensi akan buat praktikal.

Persediaan Peralatan

- Beg. Kebanyakkan agensi akan memberikan beg troli besar, beg troli kecil dan sling bag (beg sandang).
- Kain Ihram. Bergantung kepada musim, pilih sama ada jenis tebal atau sederhana. Setiap paket/set kain ihram yang dibeli akan ada dua (2) helai.
- Ubat sendiri. Sesetengah klinik ada menyediakan paket umrah dengan kadar harga tertentu.
- Pakaian seharian. Tidak digalakkan membawa banyak pakaian. Bagi yang mampu bolehlah membeli jubah semasa di tanah suci. Banyak jubah yang berpatutan boleh didapati.
- Toiletries. Ubat Gigi, berus gigi, shaver, sabun mandi dll. mana perlu.

Ibadah Umrah

Sesetengah muslim keliru mengenai "ibadah" umrah dengan "pakej" umrah.

Pakej umrah bermaksud kita perlu berada dalam kumpulan yang ditetapkan oleh agensi, terbang bersama agensi, berada di tanah suci selama 10-12 hari, dan pulang bersama agensi mengikut masa yang ditetapkan. Dalam pakej terdapatnya ibadah umrah dan ziarah. Kebanyakkan agensi menawarkan 3 kali ibadah umrah beserta dengan ziarah ke beberapa lokasi sejarah Islam dan sirah Rasulullah s.a.w.

Ibadah umrah pula merujuk kepada empat (4) rukun iaitu niat, tawaf, sa'ie dan tahalul (bercukur/memotong sebahagian rambut). Tempoh masa adalah 1-3 jam sahaja.

Jadi, terpulang kepada seseorang itu untuk menunaikan seberapa banyak ibadah umrah sepanjang berada di tanah suci. Tetapi apabila berada dalam pakej, kita terikat dengan jadual yang disediakan oleh agensi pengelola.

Bagi yang mengikuti pakej, boleh ikut Mutawif (Ustaz/Tenaga Pengajar) yang dilantik oleh agensi.

Pakej Umrah

- Anggaran harga: RM5,500 - RM6,000.
- Termasuk penginapan di Mekah dan Madinah.
- Termasuk makan dan minum sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
- Termasuk pengangkutan kapal terbang pergi dan balik serta bas sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
- Termasuk peralatan asas spt Beg Troli kecil, Beg Troli besar, Beg Sling. Sebahagian agensi menawarkan pakej termasuk kain ihram.
- Termasuk ziarah ke lokasi sejarah Islam.

Nota: Boleh rujuk agensi/pakej umrah yang berkenaan. Setiap agensi mempunyai pakej bilik, kelas yang berbeza.

Rukun Umrah

1. Niat Umrah. Berniat di lokasi (miqat) yang ditetapkan oleh Rasulullah. Bagi yang buat pertama kali mengerjakan umrah, sila rujuk/ikut Mutawif.



2. Tawaf. Mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali pusingan bermula dengan garisan Hajarul Aswad. Maksudnya hajarul aswad berada di sebelah kiri kita. Sebelah kanan, terdapat lampu hijau yang disediakan oleh Pengurusan Masjid sebagai tanda. Jadi, perlu niat tawaf sebelum melalui garisan permulaan pusingan pertama sahaja. Jangan duk niat setiap pusingan pulak.


3. Sa'ie. Berlari-lari anak / berjalan laju dari Bukit Safa ke Bukit Marwa. 7 kali lari. Pertama: Safa - Marwa, kedua: marwa - safa, ketiga: safa-marwa dan seterusnya. Sampai siap 7 kali. Pengakhirannya di Bukit Marwa. Di bukit Marwa, solat sunat dan bertahalul.


4. Tahalul. Bercukur/bergunting. Bawak gunting sendiri. Tiada gunting disediakan huhu. Pandai-pandai la cari tong sampah berdekatan untuk membuang lebihan rambut. Jangan buang merata-rata.

Lain-lain

- Kalau rajin (ambil lah peluang sebanyak-banyak) buat umrah banyak kali. Pagi buat, malam pon buat.
- Tambah dengan tawaf sunat.

Tawaf Sunat

- Niat tawaf
- Tawaf 7 kali pusingan
- Solat sunat tawaf

Syarat-syarat Umrah

- Berakal. Wajib kepada anya mereka yang waras (tidak gila). Kalau orang tidak waras menunaikan umrah, tidak sah.
- Baligh (cukup umur). Sah ditunaikan oleh kanak-kanak tetapi mereka wajib menunaikannya lagi selepas baligh.
- Berkuasa. Mampu menunaikan sendiri. Sekiranya tidak mampu/berkuasa, boleh menggantikan dengan orang lain (badal umrah)-sila rujuk syarat khas badal umrah.
- Islam. Orang Islam sahaja diwajibkan.
- Merdeka. Tidak wajib bagi hamba sahaya.

Jadi, empat (4) syarat di atas adalah mudah dan ada bagi kebanyakkan muslim. Cuma, tak ramai yang mempunyai kesedaran untuk melaksanakannya segera walhal ianya dituntut.

Sebenarnya, agak mudah dan tidak rumit untuk menunaikan umrah. Kebanyakkan daripada kita teragak-agak untuk menunaikan umrah kerana tidak faham, tidak cukup duit, takut berlaku peristiwa tidak nampak kaabah dan sebagainya.

Kalau kita berfikiran begitu, maksudnya kita kita telah terpengaruh dengan cerita-cerita. Walhal, menunaikan umrah di tanah suci tidaklah banyak beza dari kita menunaikan solat di masjid di kawasan tempat tinggal. Kedua-duanya adalah ibadah. Cuma kaedah, kadar keberkatan dan pahalanya berbeza.

Belum dapat hidayah? hidayah tidak perlu ditunggu. Hidayah perlu dicari.

Belum bersedia? Jadi, anda dah bersedia untuk mati? Tiada siapa tahu bila mati menjemput kita. Tunaikanlah ibadah umrah selagi nyawa di badan.

Sekian, semoga bermanfaat.

Thursday, March 7, 2019

Travel - Bukit Batu Chondong



Bagi yang meminati aktiviti outdoor sudah pasti menjadikan aktiviti mendaki (hiking) sebagai salah satu kemestian. Saya jugak tidak terlepas untuk mengalami aktiviti yang sangat seronok dan menyihatkan ini.

Pada minggu yang lalu, saya telah berpeluang menyertai kelab Red Mokara Metro Kajang https://www.facebook.com/watch/?v=2115504195202239 . Untuk pengetahuan anda, Red Mokara adalah sebuah kelab rekreasi khususnya Zumba dan mereka sangat bergiat aktif menjalankan acara zumba di sekitar Lembah Klang.

Pada mulanya, saya hanya di ajak oleh seorang sahabat lama. Agak keberatan kerana badan saya masih tidak sihat. Saya alami demam sejak 4 hari yang lalu. Tetapi berbekalkan pujukan yang sukar ditolak, saya relakan diri untuk menemani sahabat saya ini. Walaupon saya tidak mengenali walaupon seorang ahli Red Mokara.

Setelah saya mengesahkan kehadiran, saya telah dijemput masuk ke group Whatsapp team hiking Bukit Chondong. Melalui pesanan Whatsapp semua peserta telah diingatkan untuk membuat bayaran penyertaan sebanyak RM15 seorang, menyemak nama penuh (ini penting untuk penyediaan sijil penyertaan), dan persiapan awal seperti  peralatan-peralatan yang perlu disediakan dan di bawa semasa aktiviti hiking.

Taklimat dan senaman sebelum mula mendaki.

Antara laluan landai semasa mendaki.

Laluan berbatu. Perlu berhati-hati untuk elak sebarang kecederaan.

Pendakian paling mencabar untuk ke puncak.

Dah sampai puncak.

Sebelum pulang, refresh tenaga di Air Terjun Batu Asah.

Untuk makluman, pendakian Bukit Batu Chondong ini boleh dianggap mudah dan kurang mencabar bagi pendaki professional. Bagi orang awam, pendakian di sini boleh mencabar otot-otot yang jarang digunakan tu. Jadi, sentiasalah ambil langkah-langkah pencegahan seperti membuat senaman sebelum mula mendaki dan bersedia dengan air dan ubat-ubatan. 

Jangan lupa untuk menggunakan kasut dan pakaian yang sesuai untuk pendakian.

Selamat mendaki dan semoga bermanfaat.

Friday, March 1, 2019

Tazkirah - Muslim Mukmin Muttaqin



Firman Allah s.w.t.:

Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku.

Begitulah tujuan hidup kita. Dilahirkan di muka bumi dari rahim ibu kita, sehingga kita bakal menjengah ke liang lahad nanti. Tujuannya satu. Beribadah kepada Allah.

Setiap antara kita dijadikan dengan kelebihan tersendiri. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Menjadi Muslim adalah rahmat buat manusia. Kerana bukan semua akan beroleh hidayah Allah. Tetapi menjadi Muslim sahaja tidak mencukupi. Kerana Muslim yang baik adalah Muslim yang Muttaqin.

Untuk menjadi Muslim Muttaqin, kita perlu menjadi Muslim yang Mukmin. Berkeyakinan dengan adanya Allah, mengakui dengan tekad mendalam. Menyebutkannya dan beramal menunjukkan keyakinan kita kepada-Nya. Barulah kita menjadi Muslim Mukmin.

Selepas itu, kita akan berhadapan cabaran untuk menjadi Muslim Mukmin Mukhlisin. Iaitu mereka yang beramal dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan dari manusia dan duniawi. Amalannya hanya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.

Orang yang ada sifat ikhlas akan berusaha menjadi Muhsinin. Iaitu mereka yang ada tanggungjawab. Yang ada integriti. Yang ada kesedaran bahawa setiap apa yang kita lakukan seolah-olah kita melihat Allah dan dilihat Allah.

Akhirnya, bukan semua hamba-Nya yang benar-benar beroleh tingkat Muttaqin. Iaitu muslim yang Muslim Mukmin Mukhlisin Muhsinin Muttaqin.

Insya-Allah.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, February 27, 2019

Pengalaman Pertama - Membeli Emas



Sebelum kita membuat keputusan untuk membeli Emas, hendaklah kita mengetahui beberapa perkara seperti: Berapa harga emas pada hari ini? Apa bentuk emas yang saya hendak beli? Apa tujuan saya membeli emas? Berapa banyak tunai yang saya ada? Dimana saya boleh membeli emas? Emas yang saya beli nanti saya hendak simpan dimana?

Persoalan-persoalan ini hendaklah kita ambil maklum sebelum kita membuat keputusan. Dimana info-info ini boleh dirujuk? Saudara/i boleh merujuk info-info ini di laman sosial, blog-blog pelabur, bank serta badan berkuasa. Perlu diingat! bahawa setiap penulis ada motif mereka. 

Saya cadangkan supaya saudara/i merujuk kepada blog-blog atau penulisan mereka yang pernah membeli emas. Bandingkan beberapa penulis termasuk saya. Kerana pastinya kami mengalami pengalaman yang berbeza.

Tujuan saya menulis ini adalah dengan harapan supaya pembaca mendapat manfaat dan mengetahui bagaimana untuk mengambil langkah pertama. Ramai diantara kita termasuk saya yang menangguhkan pembelian emas hanya semata-mata kerana tidak mengetahui langkah pertama. Akhirnya, saya mengalami kerugian kerana tidak membeli lebih awal.

Berikut adalah beberapa rujukan yang boleh membantu saudara/i. Sekiranya saudara/i membuat carian dengan kata kunci "pelaburan emas", maka terdapat 5.3juta hasil carian yang boleh dirujuk. Senang cerita, tiada alasan lagi untuk kita tidak dapat mengakses info.



Antara rujukan yang paling saya sukai adalah Majalah Labur. Dalam Majalah Labur, penerangan diberikan dengan ringkas dan mudah difahami. Semoga Allah menganugerahkan pahala kepada mereka.

Berikut saya kongsikan sedikit pengalaman saya. Membeli emas adalah salah satu azam saya pada tahun 2019. Saya ingin membeli emas sebagai salah satu pelaburan jangka panjang saya. Oleh itu saya telah membuat pembacaan terhadap beberapa blog tempatan dan antarabangsa. Disamping itu, saya memantau harga emas hampir setiap hari.

https://goldprice.org/gold-price-malaysia.html
Sambil-sambil membaca, saya cuba perhatikan jawapan-jawapan kepada persoalan awal saya tadi. 

Berapa harga emas pada hari ini? Harga semasa boleh dilihat di laman goldprice atau mana-mana laman web pilihan saudara/i. Bagi harga emas fizikal pula (jongkong atau syiling) kita boleh rujuk di laman web pengeluar jongkong atau syiling tersebut. 
Apa bentuk emas yang saya hendak beli? Terdapat beberapa jenis emas yang boleh dibeli berdasarkan pengetahuan saya iaitu barang kemas, bar, syiling dan akaun pelaburan emas. Setiap jenis emas ini mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Saya telah mempunyai barang kemas, oleh itu saya membeli syiling emas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Kijang Emas. Kenapa saya memilih Kijang Emas? kerana pengeluarnya adalah BNM. Mungkin pada hadapan, saya boleh membeli syiling emas keluaran UOB, Islamic Mint, Dinar Kelantan atau Public Gold. Yang penting kita membeli daripada pengeluar yang diyakini dan melalui agen yang sah.

Apa tujuan saya membeli emas? Persoalan ini sangat penting. Kerana setiap orang ada objektif kewangan masing-masing. Semasa saya membeli Kijang Emas di Maybank tempoh hari, kerani kaunter sempat bergurau mengatakan bahawa: Orang Cina membeli emas untuk pelaburan, Orang Melayu membeli emas untuk hantaran. Orang India membeli emas untuk dipakai. Bagi saya, tujuan utama saya membeli emas adalah untuk menyimpan dan melabur. Tunai adalah sangat cair dan mudah dibelanjakan. Wang kertas pula tiada nilai melainkan nilai wang rasmi yang sentiasa bergantung kepada turun naik inflasi.

Berapa banyak tunai yang saya ada? Seperti yang maklumkan tadi, tunai sangat cair. Sekiranya kita ada lebihan tunai yang tidak akan digunakan pada masa terdekat, belilah emas. Pastikan tunai yang akan digunakan untuk membeli emas bukan sebahagian peruntukkan untuk membeli keperluan lain.

Dimana saya boleh membeli emas? Pengeluar emas biasanya akan melantik agen atau wakalah bagi menjual produk mereka. Bagi kes saya, saya membeli Kijang Emas di Maybank (Cawangan Bukit Bintang). Untuk makluman, bukan semua cawangan Maybank menawarkan khidmat jualan emas di kaunter mereka. Apa yang penting, pastikan telefon cawangan tersebut terlebih dahulu untuk bertanya sama ada stok masih ada atau tidak. 

Emas yang saya beli nanti saya hendak simpan dimana? Kalau kita membeli barang kemas atau syiling emas, kita hendaklah memastikan emas fizikal itu dijaga dengan baik dan selamat. Kalau tidak melepas. Sebelum membeli emas dan menyimpan dengan banyak, pastikan saudara/i melihat alternatif lain simpanan seperti mengambil insurans atau menyewa peti simpanan. Tetapi semua itu akan melibatkan kos tambahan.

Bila saya perlu beli emas? Sekarang! saya telah katakan bahawa saya menyesali kerana tidak membeli dengan lebih awal. Kerana harga emas sentiasa ada naik turun. Bagi tempoh jangka panjang, sudah pasti emas akan berharga lebih tinggi kerana stok emas semakin berkurangan secara teorinya. Adalah sangat rugi kalau saudara/i tidak membeli emas pada hari ini. Mungkin hari ini adalah harga terendah bagi tempoh 6 bulan akan datang.

Berikut adalah langkah pertama membeli syiling Kijang Emas di maybank.

1. Layari lamanweb Maybank dan semak harga.


2. Pastikan tunai anda mencukupi mengikut jumlah harga syiling yang anda mahu. Tidak perlu keluarkan tunai dari akaun kerana boleh buat pembayaran terus dari akaun simpanan. Pastikan bawa IC sebelum ke Maybank.

3. Pergi ke cawangan Maybank Bukit Bintang dan ambil no giliran. Tunggu sehingga anda dipanggil masuk ke bilik khas (biasanya bilik berkunci).

4. Maklumkan kepada kerani kaunter jenis syiling yang anda perlukan dan berikan IC. Kerani kaunter akan maklumkan harga dan meminta persetujuan dari anda. Anda akan diminta tunggu di luar untuk proses seterusnya.

5. Kerani kaunter di luar akan memanggil anda untuk menandatangan slip pembelian. Anda diminta tunggu buat kali kedua.

6. Anda akan dipanggil masuk ke bilik khas sekali lagi. IC anda akan dipulangkan dan anda akan diberikan salinan resit pembelian (berwarna kuning). Salinan resit ini hendaklah disimpan selagi anda memiliki syiling emas ini.

7. Kerani kaunter akan menerangkan serba sedikit mengenai syiling emas dan menimbang dihadapan anda untuk membuktikan bahawa emas tersebut adalah betul.

8. Kerani kaunter akan serahkan syiling emas yang diletakkan di dalam sampul khas kepada anda. Pastikan syiling emas disimpan di dalam beg atau poket sebelum anda keluar dari bilik khas tersebut.

Siap.

Semoga bermanfaat.

Friday, February 1, 2019

Pengalaman Pertama - Membeli Rumah Melalui Pinjaman Rumah LPPSA


Setiap antara kita tentunya mengimpikan sebuah rumah sebagai tempat berteduh dan membina sebuah keluarga. Rumah idaman yang menepati ciri-ciri sebagai Baiti Jannati pasti ada tetapi sejauh manakah rumah itu memenuhi ciri-ciri Baiti Jannati. Ada orang yang suka rumah landed, ada yang suka rumah condo, ada yang suka rumah kampung. Walau apa jenis rumah yang disukai, sudah pasti kita berdepan dengan cabaran untuk membelinya. Salah satu faktornya adalah bagaimana kita hendak membiayai pembelian rumah? Mampukah kita membayar bayaran ansuran bulanan?

Bagi penjawat awam, pastinya berasa bertuah kerana kita mempunyai pilihan. Sama ada dengan membuat pinjaman daripada institusi perbankan atau melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Bagi pekerja di sektor swasta atau sendiri, tiada pilihan lain kecuali melalui pinjaman bank.

Tetapi ramai penjawat awam yang tidak mengetahui kaedah membuat permohonan LPPSA. Justeru itu, tujuan saya menulis ini adalah berkongsi pengalaman saya sendiri semasa membuat permohonan LPPSA.

Sebelum saya membuat keputusan untuk memohon LPPSA, ada beberapa perkara yang perlu diketahui iaitu Apakah jenis pembiayaan yang saya mahu? Berapa banyak jumlah pembiayaan yang saya perlukan? Apakah jenis hartanah yang saya mahu beli? Berapa banyak bayaran ansuran bulanan yang saya perlu bayar? Persoalan ini penting bagi saya sebelum saya memulakan permohonan.

Ada satu lagi persoalan yang perlu saya jawab. Berapa jumlah pembiayaan yang saya layak mohon? Ya. Inilah persoalan paling penting.

Berapa jumlah pembiayaan yang saya layak mohon? Jumlah pembiayaan yang layak adalah bergantung kepada gaji. Untuk melihat kelayakan kita, boleh rujuk laman LPPSA.


Melalui kalkulator ini, kita boleh melihat maklumat jumlah pembiayaan dan anggaran bayaran bulanan. Boleh simpan hasil pengiraan dalam bentuk format .pdf dan print-out untuk rujukan semasa membuat carian hartanah.

Boleh rujuk pekeliling Garis Panduan Pembiayaan Perumahan LPPSA Bil 2/2018 untuk lebih info dan mengelakkan kita tersilap langkah.

Sebelum membuat permohonan, saya membuat carian hartanah yang diidamkan. Saya dapatkan maklumat lengkap mengenai hartanah dan booking hartanah tersebut. Terdapat tujuh (7) jenis pembiayaan LPPSA yang berkait dengan jenis rumah yang kita cari. Jadi semak terlebih dahulu Garis Panduan sebelum mencari hartanah. Mungkin hartanah yang kita dapat dan idamkan, tetapi tidak termasuk dalam senarai yang layak. Kebiasaan dari kita akan memohon Jenis 1 dan 3 iaitu rumah yang telah siap atau rumah yang dalam pembinaan. Setiap jenis ini mempunyai perbezaan dari segi senarai semak dan dokumen sokongan yang diperlukan semasa permohonan dihantar.

Setelah rumah telah di book, kita akan berurusan dengan peguam yang dilantik oleh pemaju. Kita boleh menggunakan peguam yang sama atau boleh lantik peguam sendiri. Dalam kes saya, saya gunakan peguam yang sama dilantik oleh pemaju. Pastikan peguam tersebut adalah syarikat guaman yang telah berdaftar dengan LPPSA sebagai panel guaman. Dalam kes saya, saya terpaksa tunggu sehingga lebih 2 minggu disebabkan syarikat guaman tersebut baru sahaja memohonan dan sedang menunggu kelulusan untuk menjadi panel LPPSA.

Semak juga dengan peguam, skop kerja peguam. Adakah peguam akan uruskan permohonan LPPSA atau kita perlu buat sendiri. Dalam kes saya, saya yang akan membuat permohonan sendiri. Sebab itu, kadar caj guaman saya agak rendah.

Peguam akan berikan beberapa dokumen untuk rujukan saya dan sebagai lampiran untuk permohonan iaitu:-

1. Salinan Geran;
2. Salinan Carian Rasmi Hartanah dan Persendirian;
3. Salinan Layout Pelan Rumah;
4. Draf Perjanjian Jual Beli;
5. Salinan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC);
6. Sebut Harga Khidmat Guaman.  (saya tidak submit semasa permohonan pertama)

Oleh kerana permit iklan hartanah telah tamat tempoh, saya dikehendaki mengisi Borang 1: Permohonan Penilaian untuk Pembiayaan. (saya tidak submit semasa permohonan pertama)

Setelah kita dapat semua salinan dokumen ini, ini langkah-langkah permohonan:

1. Boleh layari laman portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) yang dibangunkan oleh LPPSA.


Masukkan semua maklumat yang diminta iaitu maklumat pemohon, perkhidmatan, tempat bertugas, ketua jabatan, pembayar gaji, maklumat suami/isteri, maklumat keluarga, maklumat pinjaman, wang beza, insurans, maklumat harta dan maklumat peguam. Rujuk kepada Jabatan Sumber Manusia bagi maklumat tempat bertugas, ketua jabatan dan pembayar gaji. Kadang-kadang kita tidak sedar apa yang kita faham tidak semestinya betul. Contohnya, Ketua Jabatan yang dirujuk dalam permohonan ini dalah Jabatan Sumber Manusia dan bukannya Ketua Pengarah/Pengarah (seperti kebanyakan kita fahami).

2. Print-out/cetak permohonan. Semasa kita mencetak, ada beberapa dokumen yang perlu ada iaitu Surat Kelulusan Kelayakan Perumahan, Borang Pinjaman, Pengakuan Pemohonan dan Ketua Jabatan, Akuan Pemilihan Insurans/Takaful, Borang 2 - Surat Persetujuan Menyelesaikan Baki Hutang.

3. Majukan semua dokumen di No. 2 kepada Jabatan Sumber Manusia untuk pengesahan. Perlu diingat bahawa semua lampiran mengikut senarai semak yang ditetapkan LPPSA hendaklah dipenuhi. Kalau tidak, permohonan kita akan lambat dan berisiko tidak diluluskan. Pastikan Salinan IC, Slip Gaji, Surat Pengesahan Jawatan Berpencen dilampirkan bersama.

4. Saya menunggu lebih dua (2) minggu, status permohonan di SPPB telah bertukar menjadi enkuiri. Sebab enkuiri pertama: Tiada Sebut Harga Peguam; kedua: tiada borang 1.

5. Saya submit semula kedua-dua dokumen tersebut melalui Jabatan Sumber Manusia.

6. Saya menunggu buat kali kedua. Tapi Alhamdulillah dalam tempoh kurang dua (2) minggu, status permohonan saya telah bertukar "lulus".

7. Saya hanya menunggu email kelulusan daripada LPPSA. Dalam email berkenaan, LPPSA akan maklumkan bahawa permohonan saya telah diluluskan dan beberapa dokumen berikut dilampirkan bersama: Surat Kelulusan Pembiayaan, Surat Setuju Terima.

8. Surat Setuju terima ini hendaklah dimajukan semula kepada LPPSA melalui Jabatan Sumber Manusia. Buat 4 salinan original (asal bukan fotostat). 1 salinan untuk LPPSA, 1 salinan untuk JSM, 1 salinan untuk simpanan kita dan 1 salinan untuk dimajukan kepada peguam.

9. Buat temu janji dengan peguam untuk sesi menandatangani perjanjian jual beli.

Siap.

Biasanya selepas kita tandatangan perjanjian, kita terpaksa menunggu sehingga 3 bulan untuk memperoleh kunci rumah daripada pemaju. Setelah itu juga, akan ada pemotongan dalam slip gaji pada bulan berikutnya. Kalau sign bulan Julai, maka bulan Oktober pemaju akan serah kunci. Pada bulan November, slip gaji akan ada potongan LPPSA.

Total keseluruhan permohonan daripada tarikh saya daftar masuk SPPB sehingga mendapat email kelulusan LPPSA adalah lebih tiga (3) bulan. Ini adalah kerana beberapa kesilapan tertinggal dokumen sokongan dan beberapa faktor lain. Mungkin ada pemohon lain mempunyai pengalaman berbeza.

Semoga bermanfaat.

Friday, January 25, 2019

Erti Kehidupan

Setiap orang yang lahir di dunia ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Sama ada kulit yang berwarna cerah atau gelap. Sama ada mata yang berwarna biru atau coklat. Sama ada rambut yang berwarna hitam atau perang. Sama ada yang mempurna anggota sempurna atau tidak. Sama ada yang berjantina lelaki atau wanita. Semuanya telah ditakdirkan untuk terlahir ke dunia. Daripada jutaan benih yang berlumba-lumba menjadi pilihan untuk disenyawakan dengan pasangannya, kita adalah benih yang satu-satunya berjaya dipilih untuk disenyawakan dan diberikan peluang untuk lahir ke dunia. Itulah manusia. Fitrahnya kita sentiasa mengejar dan berlumba-lumba.

Tidaklah dapat dipastikan mengapa manusia telah berubah semangat berlumba-lumba setelah lahir keluar daripada rahim ibu mereka. Ada yang semakin rancak berlumba. Ada yang masih sama. Tidak laju atau perlahan. Ada juga yang tidak bersemangat lagi berlumba. Berlumba mengejar harta, bekalan, simpanan, jawatan, kekuasaan, dan perhatian. Fitrahnya manusia.

Bila difikir-fikirkan kembali, adakah erti hidup seorang manusia itu adalah untuk berlumba? iaitu berlumba-lumba mengejar perkara-perkara yang telah saya sebutkan tadi. Ataukah ada erti yang lain?

Disebutkan dalam kitab suci umat Islam iaitu Al-quran bahawa:

“Ketahuilah, sesungguhanya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam – tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu”. (QS. Al – Hadid : 20)
Disebutkan juga dalam ayat lain:

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku”. (Qs. adz-Dzariyaat :56)
Dalam surah Al-Hadid, telah disebutkan perkataan "takasur" atau "berlumba untuk memperbanyakkan" membuktikan bahawa sesungguhnya fitrah manusia adalah sentiasa berlumba-lumba. Ada banyak sebab untuk mereka berlumba, sama ada anak, harta atau sebagainya. Tetapi dengan secara jelas Allah memberitahu kita bahawa apa yang kita kejar hanyalah semata-mata palsu atau fatamorgana (iaitu bersifat khayalan).

Nah, bagaimana kita mahu memberi erti yang sebenarnya kepada kehidupan kita. Kita, sebagai muslim sangat beruntung kerana kita telah dianugerahkan dengan kitab panduan yang lengkap tentang bagaimana hendak menjalani kehidupan. Itulah yang kita sebut sebagai "cara hidup". Islam sebagai cara hidup.

oleh: Aibi Rahim.

Wednesday, January 2, 2019

Selamat Tahun Baru 2019


The good, the bad and the ugly. Semua kisah gembira dan sebaliknya berlaku sepanjang tahun 2018. Seperti biasa, agak skeptikal kalau hendak menyebut "azam". Bertanyalah seseorang, bagaimana pencapaian azam yang lalu? dan apakah azam tahun baharu pula? Pertanyaan seperti ini yang membuatkan perasaan annoying dalam kotak fikir kita. Tapi, saya mengikut tradisi orang kita sahaja. Kene ada azam juga. Ambil sisi positifnya. Azam ini perlu juga pada pandangan saya.

Secara peribadi, saya memang mempunyai "azam" juga. Setiap tahun, saya akan sediakan Wishlist. Melalui Wishlist ini, saya akan membuat perancangan tahunan, bulanan atau mingguan. Saya memang seorang yang begitu. Saya tidak pernah memberitahu sesiapa mengenai Wishlist ini. Sebahagiannya saya akan kongsi juga. Hanya sekadar untuk mencipta external forces. Iaitu pihak lain yang akan mencetus paksaan atau mengingatkan akan Wishlist kita. Sebagai contoh: Saya berniat untuk menunaikan Solat Sunat Dhuha pada setiap hari. saya akan maklumkan kepada rakan terdekat. Jadi pada setiap hari bekerja, akan ada rakan-rakan yang akan mengingatkan kita "dah solat Dhuha ke hari nie?" dan begitulah seterusnya.

Setiap akhir tahun juga, saya akan menilai kembali Wishlist bagi tahun tersebut. Berapa banyak azam yang telah disempurnakan. Berapa banyak juga yang gagal disempurnakan. 

Bagi Wishlist tahun 2018, saya ada 11 azam yang utama. Daripada 11 azam itu, hanya satu sahaja yang berhasil. Manakala selebihnya saya tidak berjaya sempurnakan. Ada juga azam yang terpaksa dipinda disebabkan faktor-faktor luar yang tidak dapat dielakkan. Selain itu, ada azam yang terpaksa digantikan dengan perkara lain kerana faktor prioriti. Ada juga azam yang tidak berjaya disempurnakan kerana tidak cukup usaha dilaksanakan. Yang tidak berjaya inilah yang menggambarkan adakah saya telah berusaha sepenuh daya atau tidak. Itulah gambarannya.

Bagi tahun 2019 pula, saya telah sediakan Wishlist yang mempunyai 7 bahagian iaitu agama, tabungan, hutang, aset baharu, buku, kesihatan dan kemahiran. Dengan adanya Wishlist ini, kita sendiri dapat menyusun keutamaan (prioriti) dalam perbelanjaan, kita dapat mengetahui dengan jelas apa yang hendak kita capai dalam tempoh masa pendek atau panjang.

InsyaAllah, semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mencapai apa yang kita usahakan serta meneruskan kehidupan dengan hari ini menjadi lebih baik daripada semalam dan tahun ini akan menjadi lebih baik dari tahun lalu.

Selamat tahun baru 2019. Fighting!


Bagaimana Cara Membeli Syiling Kijang Emas di Maybank?

Mungkin ramai antara kita yang berminat atau sedang berjinak-jinak untuk membeli syiling emas. Tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan ...