Setiap orang yang lahir di dunia ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Sama ada kulit yang berwarna cerah atau gelap. Sama ada mata yang berwarna biru atau coklat. Sama ada rambut yang berwarna hitam atau perang. Sama ada yang mempurna anggota sempurna atau tidak. Sama ada yang berjantina lelaki atau wanita. Semuanya telah ditakdirkan untuk terlahir ke dunia. Daripada jutaan benih yang berlumba-lumba menjadi pilihan untuk disenyawakan dengan pasangannya, kita adalah benih yang satu-satunya berjaya dipilih untuk disenyawakan dan diberikan peluang untuk lahir ke dunia. Itulah manusia. Fitrahnya kita sentiasa mengejar dan berlumba-lumba.
Tidaklah dapat dipastikan mengapa manusia telah berubah semangat berlumba-lumba setelah lahir keluar daripada rahim ibu mereka. Ada yang semakin rancak berlumba. Ada yang masih sama. Tidak laju atau perlahan. Ada juga yang tidak bersemangat lagi berlumba. Berlumba mengejar harta, bekalan, simpanan, jawatan, kekuasaan, dan perhatian. Fitrahnya manusia.
Bila difikir-fikirkan kembali, adakah erti hidup seorang manusia itu adalah untuk berlumba? iaitu berlumba-lumba mengejar perkara-perkara yang telah saya sebutkan tadi. Ataukah ada erti yang lain?
Disebutkan dalam kitab suci umat Islam iaitu Al-quran bahawa:
“Ketahuilah, sesungguhanya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam – tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu”. (QS. Al – Hadid : 20)
Disebutkan juga dalam ayat lain:
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku”. (Qs. adz-Dzariyaat :56)
Dalam surah Al-Hadid, telah disebutkan perkataan "takasur" atau "berlumba untuk memperbanyakkan" membuktikan bahawa sesungguhnya fitrah manusia adalah sentiasa berlumba-lumba. Ada banyak sebab untuk mereka berlumba, sama ada anak, harta atau sebagainya. Tetapi dengan secara jelas Allah memberitahu kita bahawa apa yang kita kejar hanyalah semata-mata palsu atau fatamorgana (iaitu bersifat khayalan).
Nah, bagaimana kita mahu memberi erti yang sebenarnya kepada kehidupan kita. Kita, sebagai muslim sangat beruntung kerana kita telah dianugerahkan dengan kitab panduan yang lengkap tentang bagaimana hendak menjalani kehidupan. Itulah yang kita sebut sebagai "cara hidup". Islam sebagai cara hidup.
oleh: Aibi Rahim.
No comments:
Post a Comment