Wednesday, March 20, 2019

Ibadah Umrah



Pengenalan

Umrah secara umumnya disebut sebagai "Haji Kecil" merupakan salah satu ibadah yang diwajibkan kepada setiap orang Islam (muslim), sekali seumur hidup.

Bacaan lengkap mengenai haji dan umrah boleh didapati di portal berikut:

Hukum menunaikan haji dan umrah sebagaimana yang telah ditetapkan adalah seperti link berikut:

Tujuan tulisan ini adalah untuk memberitahu kepada pembaca mengenai ibadah umrah dengan seringkas dan dalam bahasa yang mudah. 

Penulisan juga adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa mengerjakan umrah sebelum ini. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai hukum-hakam, syarat2 dan sebagainya. 

Cukup sekadar maklumat ringkas mengenai persediaan yang diperlukan dan apa langkah pertama untuk menunaikan ibadah umrah.

Saya tidak memasukkan perihal ziarah ke tempat bersejarah dan ziarah Madinah.

Persediaan Sebelum Mendaftar Umrah

- Ada duit. Tak cukup duit, boleh pinjam dengan bank. Kadar pakej umrah biasanya RM5,500 - RM6,000 bagi bilik berempat. Kene sediakan duit belanja tambahan.
- Ada passport sah dan aktif tempoh sahlaku sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh mengerjakan umrah.
- Sihat. Nanti tidaklah menyusahkan orang sebelah. Kalau tak sihat, kene sediakan duit lebih untuk upah tukang tolak kerusi roda.
- Kursus. Tidak wajib tetapi jangan angkuh dengan tidak berkursus. Apa-apapun kene ada ilmu.

Langkah Pertama

1. Kenalpasti agensi umrah. Alhamdulillah, di Malaysia, banyak agensi umrah yang menyediakan khidmat umrah. Semak agensi berdaftar dan sah di laman portal Jauhar
2. Isi borang pendaftaran umrah. Pastikan dokumen sokongan dibawa bersama iaitu passport dan gambar (4 keping)
- Nota: syarat gambar - saiz 6cm x 4cm, latar belakang putih, tidak menutup kepala (lelaki), tudung warna gelap (biasanya hitam) bagi wanita.
3. Bayar Deposit. Kebiasaannya, deposit RM300.00 hendaklah dibayar semasa pendaftaran umrah. Deposit tersebut akan digunakan oleh agensi untuk memohon Visa Umrah.
4. Dapatkan suntikan vaksin khusus untuk umrah di klinik-klinik. Anggaran harga: RM130 - RM170.
5. Berkursus.

Kursus Umrah

- Tidak wajib tetapi hendaklah ada ilmu mengenai ibadah umrah.
- Kursus umrah hanya memakan masa 2 hingga 3 jam sahaja. Kalau tak sempat, boleh pergi banyak kali.
- Kursus umrah adalah PERCUMA.
- Boleh sertai mana-mana kursus umrah, tidak semestinya dengan agensi yang kita daftar.
- Tiada exam.
- Sesetengah agensi akan buat praktikal.

Persediaan Peralatan

- Beg. Kebanyakkan agensi akan memberikan beg troli besar, beg troli kecil dan sling bag (beg sandang).
- Kain Ihram. Bergantung kepada musim, pilih sama ada jenis tebal atau sederhana. Setiap paket/set kain ihram yang dibeli akan ada dua (2) helai.
- Ubat sendiri. Sesetengah klinik ada menyediakan paket umrah dengan kadar harga tertentu.
- Pakaian seharian. Tidak digalakkan membawa banyak pakaian. Bagi yang mampu bolehlah membeli jubah semasa di tanah suci. Banyak jubah yang berpatutan boleh didapati.
- Toiletries. Ubat Gigi, berus gigi, shaver, sabun mandi dll. mana perlu.

Ibadah Umrah

Sesetengah muslim keliru mengenai "ibadah" umrah dengan "pakej" umrah.

Pakej umrah bermaksud kita perlu berada dalam kumpulan yang ditetapkan oleh agensi, terbang bersama agensi, berada di tanah suci selama 10-12 hari, dan pulang bersama agensi mengikut masa yang ditetapkan. Dalam pakej terdapatnya ibadah umrah dan ziarah. Kebanyakkan agensi menawarkan 3 kali ibadah umrah beserta dengan ziarah ke beberapa lokasi sejarah Islam dan sirah Rasulullah s.a.w.

Ibadah umrah pula merujuk kepada empat (4) rukun iaitu niat, tawaf, sa'ie dan tahalul (bercukur/memotong sebahagian rambut). Tempoh masa adalah 1-3 jam sahaja.

Jadi, terpulang kepada seseorang itu untuk menunaikan seberapa banyak ibadah umrah sepanjang berada di tanah suci. Tetapi apabila berada dalam pakej, kita terikat dengan jadual yang disediakan oleh agensi pengelola.

Bagi yang mengikuti pakej, boleh ikut Mutawif (Ustaz/Tenaga Pengajar) yang dilantik oleh agensi.

Pakej Umrah

- Anggaran harga: RM5,500 - RM6,000.
- Termasuk penginapan di Mekah dan Madinah.
- Termasuk makan dan minum sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
- Termasuk pengangkutan kapal terbang pergi dan balik serta bas sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
- Termasuk peralatan asas spt Beg Troli kecil, Beg Troli besar, Beg Sling. Sebahagian agensi menawarkan pakej termasuk kain ihram.
- Termasuk ziarah ke lokasi sejarah Islam.

Nota: Boleh rujuk agensi/pakej umrah yang berkenaan. Setiap agensi mempunyai pakej bilik, kelas yang berbeza.

Rukun Umrah

1. Niat Umrah. Berniat di lokasi (miqat) yang ditetapkan oleh Rasulullah. Bagi yang buat pertama kali mengerjakan umrah, sila rujuk/ikut Mutawif.



2. Tawaf. Mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali pusingan bermula dengan garisan Hajarul Aswad. Maksudnya hajarul aswad berada di sebelah kiri kita. Sebelah kanan, terdapat lampu hijau yang disediakan oleh Pengurusan Masjid sebagai tanda. Jadi, perlu niat tawaf sebelum melalui garisan permulaan pusingan pertama sahaja. Jangan duk niat setiap pusingan pulak.


3. Sa'ie. Berlari-lari anak / berjalan laju dari Bukit Safa ke Bukit Marwa. 7 kali lari. Pertama: Safa - Marwa, kedua: marwa - safa, ketiga: safa-marwa dan seterusnya. Sampai siap 7 kali. Pengakhirannya di Bukit Marwa. Di bukit Marwa, solat sunat dan bertahalul.


4. Tahalul. Bercukur/bergunting. Bawak gunting sendiri. Tiada gunting disediakan huhu. Pandai-pandai la cari tong sampah berdekatan untuk membuang lebihan rambut. Jangan buang merata-rata.

Lain-lain

- Kalau rajin (ambil lah peluang sebanyak-banyak) buat umrah banyak kali. Pagi buat, malam pon buat.
- Tambah dengan tawaf sunat.

Tawaf Sunat

- Niat tawaf
- Tawaf 7 kali pusingan
- Solat sunat tawaf

Syarat-syarat Umrah

- Berakal. Wajib kepada anya mereka yang waras (tidak gila). Kalau orang tidak waras menunaikan umrah, tidak sah.
- Baligh (cukup umur). Sah ditunaikan oleh kanak-kanak tetapi mereka wajib menunaikannya lagi selepas baligh.
- Berkuasa. Mampu menunaikan sendiri. Sekiranya tidak mampu/berkuasa, boleh menggantikan dengan orang lain (badal umrah)-sila rujuk syarat khas badal umrah.
- Islam. Orang Islam sahaja diwajibkan.
- Merdeka. Tidak wajib bagi hamba sahaya.

Jadi, empat (4) syarat di atas adalah mudah dan ada bagi kebanyakkan muslim. Cuma, tak ramai yang mempunyai kesedaran untuk melaksanakannya segera walhal ianya dituntut.

Sebenarnya, agak mudah dan tidak rumit untuk menunaikan umrah. Kebanyakkan daripada kita teragak-agak untuk menunaikan umrah kerana tidak faham, tidak cukup duit, takut berlaku peristiwa tidak nampak kaabah dan sebagainya.

Kalau kita berfikiran begitu, maksudnya kita kita telah terpengaruh dengan cerita-cerita. Walhal, menunaikan umrah di tanah suci tidaklah banyak beza dari kita menunaikan solat di masjid di kawasan tempat tinggal. Kedua-duanya adalah ibadah. Cuma kaedah, kadar keberkatan dan pahalanya berbeza.

Belum dapat hidayah? hidayah tidak perlu ditunggu. Hidayah perlu dicari.

Belum bersedia? Jadi, anda dah bersedia untuk mati? Tiada siapa tahu bila mati menjemput kita. Tunaikanlah ibadah umrah selagi nyawa di badan.

Sekian, semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Bagaimana Cara Membeli Syiling Kijang Emas di Maybank?

Mungkin ramai antara kita yang berminat atau sedang berjinak-jinak untuk membeli syiling emas. Tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan ...