Wednesday, February 27, 2019

Pengalaman Pertama - Membeli Emas



Sebelum kita membuat keputusan untuk membeli Emas, hendaklah kita mengetahui beberapa perkara seperti: Berapa harga emas pada hari ini? Apa bentuk emas yang saya hendak beli? Apa tujuan saya membeli emas? Berapa banyak tunai yang saya ada? Dimana saya boleh membeli emas? Emas yang saya beli nanti saya hendak simpan dimana?

Persoalan-persoalan ini hendaklah kita ambil maklum sebelum kita membuat keputusan. Dimana info-info ini boleh dirujuk? Saudara/i boleh merujuk info-info ini di laman sosial, blog-blog pelabur, bank serta badan berkuasa. Perlu diingat! bahawa setiap penulis ada motif mereka. 

Saya cadangkan supaya saudara/i merujuk kepada blog-blog atau penulisan mereka yang pernah membeli emas. Bandingkan beberapa penulis termasuk saya. Kerana pastinya kami mengalami pengalaman yang berbeza.

Tujuan saya menulis ini adalah dengan harapan supaya pembaca mendapat manfaat dan mengetahui bagaimana untuk mengambil langkah pertama. Ramai diantara kita termasuk saya yang menangguhkan pembelian emas hanya semata-mata kerana tidak mengetahui langkah pertama. Akhirnya, saya mengalami kerugian kerana tidak membeli lebih awal.

Berikut adalah beberapa rujukan yang boleh membantu saudara/i. Sekiranya saudara/i membuat carian dengan kata kunci "pelaburan emas", maka terdapat 5.3juta hasil carian yang boleh dirujuk. Senang cerita, tiada alasan lagi untuk kita tidak dapat mengakses info.



Antara rujukan yang paling saya sukai adalah Majalah Labur. Dalam Majalah Labur, penerangan diberikan dengan ringkas dan mudah difahami. Semoga Allah menganugerahkan pahala kepada mereka.

Berikut saya kongsikan sedikit pengalaman saya. Membeli emas adalah salah satu azam saya pada tahun 2019. Saya ingin membeli emas sebagai salah satu pelaburan jangka panjang saya. Oleh itu saya telah membuat pembacaan terhadap beberapa blog tempatan dan antarabangsa. Disamping itu, saya memantau harga emas hampir setiap hari.

https://goldprice.org/gold-price-malaysia.html
Sambil-sambil membaca, saya cuba perhatikan jawapan-jawapan kepada persoalan awal saya tadi. 

Berapa harga emas pada hari ini? Harga semasa boleh dilihat di laman goldprice atau mana-mana laman web pilihan saudara/i. Bagi harga emas fizikal pula (jongkong atau syiling) kita boleh rujuk di laman web pengeluar jongkong atau syiling tersebut. 
Apa bentuk emas yang saya hendak beli? Terdapat beberapa jenis emas yang boleh dibeli berdasarkan pengetahuan saya iaitu barang kemas, bar, syiling dan akaun pelaburan emas. Setiap jenis emas ini mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Saya telah mempunyai barang kemas, oleh itu saya membeli syiling emas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Kijang Emas. Kenapa saya memilih Kijang Emas? kerana pengeluarnya adalah BNM. Mungkin pada hadapan, saya boleh membeli syiling emas keluaran UOB, Islamic Mint, Dinar Kelantan atau Public Gold. Yang penting kita membeli daripada pengeluar yang diyakini dan melalui agen yang sah.

Apa tujuan saya membeli emas? Persoalan ini sangat penting. Kerana setiap orang ada objektif kewangan masing-masing. Semasa saya membeli Kijang Emas di Maybank tempoh hari, kerani kaunter sempat bergurau mengatakan bahawa: Orang Cina membeli emas untuk pelaburan, Orang Melayu membeli emas untuk hantaran. Orang India membeli emas untuk dipakai. Bagi saya, tujuan utama saya membeli emas adalah untuk menyimpan dan melabur. Tunai adalah sangat cair dan mudah dibelanjakan. Wang kertas pula tiada nilai melainkan nilai wang rasmi yang sentiasa bergantung kepada turun naik inflasi.

Berapa banyak tunai yang saya ada? Seperti yang maklumkan tadi, tunai sangat cair. Sekiranya kita ada lebihan tunai yang tidak akan digunakan pada masa terdekat, belilah emas. Pastikan tunai yang akan digunakan untuk membeli emas bukan sebahagian peruntukkan untuk membeli keperluan lain.

Dimana saya boleh membeli emas? Pengeluar emas biasanya akan melantik agen atau wakalah bagi menjual produk mereka. Bagi kes saya, saya membeli Kijang Emas di Maybank (Cawangan Bukit Bintang). Untuk makluman, bukan semua cawangan Maybank menawarkan khidmat jualan emas di kaunter mereka. Apa yang penting, pastikan telefon cawangan tersebut terlebih dahulu untuk bertanya sama ada stok masih ada atau tidak. 

Emas yang saya beli nanti saya hendak simpan dimana? Kalau kita membeli barang kemas atau syiling emas, kita hendaklah memastikan emas fizikal itu dijaga dengan baik dan selamat. Kalau tidak melepas. Sebelum membeli emas dan menyimpan dengan banyak, pastikan saudara/i melihat alternatif lain simpanan seperti mengambil insurans atau menyewa peti simpanan. Tetapi semua itu akan melibatkan kos tambahan.

Bila saya perlu beli emas? Sekarang! saya telah katakan bahawa saya menyesali kerana tidak membeli dengan lebih awal. Kerana harga emas sentiasa ada naik turun. Bagi tempoh jangka panjang, sudah pasti emas akan berharga lebih tinggi kerana stok emas semakin berkurangan secara teorinya. Adalah sangat rugi kalau saudara/i tidak membeli emas pada hari ini. Mungkin hari ini adalah harga terendah bagi tempoh 6 bulan akan datang.

Berikut adalah langkah pertama membeli syiling Kijang Emas di maybank.

1. Layari lamanweb Maybank dan semak harga.


2. Pastikan tunai anda mencukupi mengikut jumlah harga syiling yang anda mahu. Tidak perlu keluarkan tunai dari akaun kerana boleh buat pembayaran terus dari akaun simpanan. Pastikan bawa IC sebelum ke Maybank.

3. Pergi ke cawangan Maybank Bukit Bintang dan ambil no giliran. Tunggu sehingga anda dipanggil masuk ke bilik khas (biasanya bilik berkunci).

4. Maklumkan kepada kerani kaunter jenis syiling yang anda perlukan dan berikan IC. Kerani kaunter akan maklumkan harga dan meminta persetujuan dari anda. Anda akan diminta tunggu di luar untuk proses seterusnya.

5. Kerani kaunter di luar akan memanggil anda untuk menandatangan slip pembelian. Anda diminta tunggu buat kali kedua.

6. Anda akan dipanggil masuk ke bilik khas sekali lagi. IC anda akan dipulangkan dan anda akan diberikan salinan resit pembelian (berwarna kuning). Salinan resit ini hendaklah disimpan selagi anda memiliki syiling emas ini.

7. Kerani kaunter akan menerangkan serba sedikit mengenai syiling emas dan menimbang dihadapan anda untuk membuktikan bahawa emas tersebut adalah betul.

8. Kerani kaunter akan serahkan syiling emas yang diletakkan di dalam sampul khas kepada anda. Pastikan syiling emas disimpan di dalam beg atau poket sebelum anda keluar dari bilik khas tersebut.

Siap.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Bagaimana Cara Membeli Syiling Kijang Emas di Maybank?

Mungkin ramai antara kita yang berminat atau sedang berjinak-jinak untuk membeli syiling emas. Tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan ...