Wednesday, February 27, 2019

Pengalaman Pertama - Membeli Emas



Sebelum kita membuat keputusan untuk membeli Emas, hendaklah kita mengetahui beberapa perkara seperti: Berapa harga emas pada hari ini? Apa bentuk emas yang saya hendak beli? Apa tujuan saya membeli emas? Berapa banyak tunai yang saya ada? Dimana saya boleh membeli emas? Emas yang saya beli nanti saya hendak simpan dimana?

Persoalan-persoalan ini hendaklah kita ambil maklum sebelum kita membuat keputusan. Dimana info-info ini boleh dirujuk? Saudara/i boleh merujuk info-info ini di laman sosial, blog-blog pelabur, bank serta badan berkuasa. Perlu diingat! bahawa setiap penulis ada motif mereka. 

Saya cadangkan supaya saudara/i merujuk kepada blog-blog atau penulisan mereka yang pernah membeli emas. Bandingkan beberapa penulis termasuk saya. Kerana pastinya kami mengalami pengalaman yang berbeza.

Tujuan saya menulis ini adalah dengan harapan supaya pembaca mendapat manfaat dan mengetahui bagaimana untuk mengambil langkah pertama. Ramai diantara kita termasuk saya yang menangguhkan pembelian emas hanya semata-mata kerana tidak mengetahui langkah pertama. Akhirnya, saya mengalami kerugian kerana tidak membeli lebih awal.

Berikut adalah beberapa rujukan yang boleh membantu saudara/i. Sekiranya saudara/i membuat carian dengan kata kunci "pelaburan emas", maka terdapat 5.3juta hasil carian yang boleh dirujuk. Senang cerita, tiada alasan lagi untuk kita tidak dapat mengakses info.



Antara rujukan yang paling saya sukai adalah Majalah Labur. Dalam Majalah Labur, penerangan diberikan dengan ringkas dan mudah difahami. Semoga Allah menganugerahkan pahala kepada mereka.

Berikut saya kongsikan sedikit pengalaman saya. Membeli emas adalah salah satu azam saya pada tahun 2019. Saya ingin membeli emas sebagai salah satu pelaburan jangka panjang saya. Oleh itu saya telah membuat pembacaan terhadap beberapa blog tempatan dan antarabangsa. Disamping itu, saya memantau harga emas hampir setiap hari.

https://goldprice.org/gold-price-malaysia.html
Sambil-sambil membaca, saya cuba perhatikan jawapan-jawapan kepada persoalan awal saya tadi. 

Berapa harga emas pada hari ini? Harga semasa boleh dilihat di laman goldprice atau mana-mana laman web pilihan saudara/i. Bagi harga emas fizikal pula (jongkong atau syiling) kita boleh rujuk di laman web pengeluar jongkong atau syiling tersebut. 
Apa bentuk emas yang saya hendak beli? Terdapat beberapa jenis emas yang boleh dibeli berdasarkan pengetahuan saya iaitu barang kemas, bar, syiling dan akaun pelaburan emas. Setiap jenis emas ini mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Saya telah mempunyai barang kemas, oleh itu saya membeli syiling emas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Kijang Emas. Kenapa saya memilih Kijang Emas? kerana pengeluarnya adalah BNM. Mungkin pada hadapan, saya boleh membeli syiling emas keluaran UOB, Islamic Mint, Dinar Kelantan atau Public Gold. Yang penting kita membeli daripada pengeluar yang diyakini dan melalui agen yang sah.

Apa tujuan saya membeli emas? Persoalan ini sangat penting. Kerana setiap orang ada objektif kewangan masing-masing. Semasa saya membeli Kijang Emas di Maybank tempoh hari, kerani kaunter sempat bergurau mengatakan bahawa: Orang Cina membeli emas untuk pelaburan, Orang Melayu membeli emas untuk hantaran. Orang India membeli emas untuk dipakai. Bagi saya, tujuan utama saya membeli emas adalah untuk menyimpan dan melabur. Tunai adalah sangat cair dan mudah dibelanjakan. Wang kertas pula tiada nilai melainkan nilai wang rasmi yang sentiasa bergantung kepada turun naik inflasi.

Berapa banyak tunai yang saya ada? Seperti yang maklumkan tadi, tunai sangat cair. Sekiranya kita ada lebihan tunai yang tidak akan digunakan pada masa terdekat, belilah emas. Pastikan tunai yang akan digunakan untuk membeli emas bukan sebahagian peruntukkan untuk membeli keperluan lain.

Dimana saya boleh membeli emas? Pengeluar emas biasanya akan melantik agen atau wakalah bagi menjual produk mereka. Bagi kes saya, saya membeli Kijang Emas di Maybank (Cawangan Bukit Bintang). Untuk makluman, bukan semua cawangan Maybank menawarkan khidmat jualan emas di kaunter mereka. Apa yang penting, pastikan telefon cawangan tersebut terlebih dahulu untuk bertanya sama ada stok masih ada atau tidak. 

Emas yang saya beli nanti saya hendak simpan dimana? Kalau kita membeli barang kemas atau syiling emas, kita hendaklah memastikan emas fizikal itu dijaga dengan baik dan selamat. Kalau tidak melepas. Sebelum membeli emas dan menyimpan dengan banyak, pastikan saudara/i melihat alternatif lain simpanan seperti mengambil insurans atau menyewa peti simpanan. Tetapi semua itu akan melibatkan kos tambahan.

Bila saya perlu beli emas? Sekarang! saya telah katakan bahawa saya menyesali kerana tidak membeli dengan lebih awal. Kerana harga emas sentiasa ada naik turun. Bagi tempoh jangka panjang, sudah pasti emas akan berharga lebih tinggi kerana stok emas semakin berkurangan secara teorinya. Adalah sangat rugi kalau saudara/i tidak membeli emas pada hari ini. Mungkin hari ini adalah harga terendah bagi tempoh 6 bulan akan datang.

Berikut adalah langkah pertama membeli syiling Kijang Emas di maybank.

1. Layari lamanweb Maybank dan semak harga.


2. Pastikan tunai anda mencukupi mengikut jumlah harga syiling yang anda mahu. Tidak perlu keluarkan tunai dari akaun kerana boleh buat pembayaran terus dari akaun simpanan. Pastikan bawa IC sebelum ke Maybank.

3. Pergi ke cawangan Maybank Bukit Bintang dan ambil no giliran. Tunggu sehingga anda dipanggil masuk ke bilik khas (biasanya bilik berkunci).

4. Maklumkan kepada kerani kaunter jenis syiling yang anda perlukan dan berikan IC. Kerani kaunter akan maklumkan harga dan meminta persetujuan dari anda. Anda akan diminta tunggu di luar untuk proses seterusnya.

5. Kerani kaunter di luar akan memanggil anda untuk menandatangan slip pembelian. Anda diminta tunggu buat kali kedua.

6. Anda akan dipanggil masuk ke bilik khas sekali lagi. IC anda akan dipulangkan dan anda akan diberikan salinan resit pembelian (berwarna kuning). Salinan resit ini hendaklah disimpan selagi anda memiliki syiling emas ini.

7. Kerani kaunter akan menerangkan serba sedikit mengenai syiling emas dan menimbang dihadapan anda untuk membuktikan bahawa emas tersebut adalah betul.

8. Kerani kaunter akan serahkan syiling emas yang diletakkan di dalam sampul khas kepada anda. Pastikan syiling emas disimpan di dalam beg atau poket sebelum anda keluar dari bilik khas tersebut.

Siap.

Semoga bermanfaat.

Friday, February 1, 2019

Pengalaman Pertama - Membeli Rumah Melalui Pinjaman Rumah LPPSA


Setiap antara kita tentunya mengimpikan sebuah rumah sebagai tempat berteduh dan membina sebuah keluarga. Rumah idaman yang menepati ciri-ciri sebagai Baiti Jannati pasti ada tetapi sejauh manakah rumah itu memenuhi ciri-ciri Baiti Jannati. Ada orang yang suka rumah landed, ada yang suka rumah condo, ada yang suka rumah kampung. Walau apa jenis rumah yang disukai, sudah pasti kita berdepan dengan cabaran untuk membelinya. Salah satu faktornya adalah bagaimana kita hendak membiayai pembelian rumah? Mampukah kita membayar bayaran ansuran bulanan?

Bagi penjawat awam, pastinya berasa bertuah kerana kita mempunyai pilihan. Sama ada dengan membuat pinjaman daripada institusi perbankan atau melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Bagi pekerja di sektor swasta atau sendiri, tiada pilihan lain kecuali melalui pinjaman bank.

Tetapi ramai penjawat awam yang tidak mengetahui kaedah membuat permohonan LPPSA. Justeru itu, tujuan saya menulis ini adalah berkongsi pengalaman saya sendiri semasa membuat permohonan LPPSA.

Sebelum saya membuat keputusan untuk memohon LPPSA, ada beberapa perkara yang perlu diketahui iaitu Apakah jenis pembiayaan yang saya mahu? Berapa banyak jumlah pembiayaan yang saya perlukan? Apakah jenis hartanah yang saya mahu beli? Berapa banyak bayaran ansuran bulanan yang saya perlu bayar? Persoalan ini penting bagi saya sebelum saya memulakan permohonan.

Ada satu lagi persoalan yang perlu saya jawab. Berapa jumlah pembiayaan yang saya layak mohon? Ya. Inilah persoalan paling penting.

Berapa jumlah pembiayaan yang saya layak mohon? Jumlah pembiayaan yang layak adalah bergantung kepada gaji. Untuk melihat kelayakan kita, boleh rujuk laman LPPSA.


Melalui kalkulator ini, kita boleh melihat maklumat jumlah pembiayaan dan anggaran bayaran bulanan. Boleh simpan hasil pengiraan dalam bentuk format .pdf dan print-out untuk rujukan semasa membuat carian hartanah.

Boleh rujuk pekeliling Garis Panduan Pembiayaan Perumahan LPPSA Bil 2/2018 untuk lebih info dan mengelakkan kita tersilap langkah.

Sebelum membuat permohonan, saya membuat carian hartanah yang diidamkan. Saya dapatkan maklumat lengkap mengenai hartanah dan booking hartanah tersebut. Terdapat tujuh (7) jenis pembiayaan LPPSA yang berkait dengan jenis rumah yang kita cari. Jadi semak terlebih dahulu Garis Panduan sebelum mencari hartanah. Mungkin hartanah yang kita dapat dan idamkan, tetapi tidak termasuk dalam senarai yang layak. Kebiasaan dari kita akan memohon Jenis 1 dan 3 iaitu rumah yang telah siap atau rumah yang dalam pembinaan. Setiap jenis ini mempunyai perbezaan dari segi senarai semak dan dokumen sokongan yang diperlukan semasa permohonan dihantar.

Setelah rumah telah di book, kita akan berurusan dengan peguam yang dilantik oleh pemaju. Kita boleh menggunakan peguam yang sama atau boleh lantik peguam sendiri. Dalam kes saya, saya gunakan peguam yang sama dilantik oleh pemaju. Pastikan peguam tersebut adalah syarikat guaman yang telah berdaftar dengan LPPSA sebagai panel guaman. Dalam kes saya, saya terpaksa tunggu sehingga lebih 2 minggu disebabkan syarikat guaman tersebut baru sahaja memohonan dan sedang menunggu kelulusan untuk menjadi panel LPPSA.

Semak juga dengan peguam, skop kerja peguam. Adakah peguam akan uruskan permohonan LPPSA atau kita perlu buat sendiri. Dalam kes saya, saya yang akan membuat permohonan sendiri. Sebab itu, kadar caj guaman saya agak rendah.

Peguam akan berikan beberapa dokumen untuk rujukan saya dan sebagai lampiran untuk permohonan iaitu:-

1. Salinan Geran;
2. Salinan Carian Rasmi Hartanah dan Persendirian;
3. Salinan Layout Pelan Rumah;
4. Draf Perjanjian Jual Beli;
5. Salinan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC);
6. Sebut Harga Khidmat Guaman.  (saya tidak submit semasa permohonan pertama)

Oleh kerana permit iklan hartanah telah tamat tempoh, saya dikehendaki mengisi Borang 1: Permohonan Penilaian untuk Pembiayaan. (saya tidak submit semasa permohonan pertama)

Setelah kita dapat semua salinan dokumen ini, ini langkah-langkah permohonan:

1. Boleh layari laman portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) yang dibangunkan oleh LPPSA.


Masukkan semua maklumat yang diminta iaitu maklumat pemohon, perkhidmatan, tempat bertugas, ketua jabatan, pembayar gaji, maklumat suami/isteri, maklumat keluarga, maklumat pinjaman, wang beza, insurans, maklumat harta dan maklumat peguam. Rujuk kepada Jabatan Sumber Manusia bagi maklumat tempat bertugas, ketua jabatan dan pembayar gaji. Kadang-kadang kita tidak sedar apa yang kita faham tidak semestinya betul. Contohnya, Ketua Jabatan yang dirujuk dalam permohonan ini dalah Jabatan Sumber Manusia dan bukannya Ketua Pengarah/Pengarah (seperti kebanyakan kita fahami).

2. Print-out/cetak permohonan. Semasa kita mencetak, ada beberapa dokumen yang perlu ada iaitu Surat Kelulusan Kelayakan Perumahan, Borang Pinjaman, Pengakuan Pemohonan dan Ketua Jabatan, Akuan Pemilihan Insurans/Takaful, Borang 2 - Surat Persetujuan Menyelesaikan Baki Hutang.

3. Majukan semua dokumen di No. 2 kepada Jabatan Sumber Manusia untuk pengesahan. Perlu diingat bahawa semua lampiran mengikut senarai semak yang ditetapkan LPPSA hendaklah dipenuhi. Kalau tidak, permohonan kita akan lambat dan berisiko tidak diluluskan. Pastikan Salinan IC, Slip Gaji, Surat Pengesahan Jawatan Berpencen dilampirkan bersama.

4. Saya menunggu lebih dua (2) minggu, status permohonan di SPPB telah bertukar menjadi enkuiri. Sebab enkuiri pertama: Tiada Sebut Harga Peguam; kedua: tiada borang 1.

5. Saya submit semula kedua-dua dokumen tersebut melalui Jabatan Sumber Manusia.

6. Saya menunggu buat kali kedua. Tapi Alhamdulillah dalam tempoh kurang dua (2) minggu, status permohonan saya telah bertukar "lulus".

7. Saya hanya menunggu email kelulusan daripada LPPSA. Dalam email berkenaan, LPPSA akan maklumkan bahawa permohonan saya telah diluluskan dan beberapa dokumen berikut dilampirkan bersama: Surat Kelulusan Pembiayaan, Surat Setuju Terima.

8. Surat Setuju terima ini hendaklah dimajukan semula kepada LPPSA melalui Jabatan Sumber Manusia. Buat 4 salinan original (asal bukan fotostat). 1 salinan untuk LPPSA, 1 salinan untuk JSM, 1 salinan untuk simpanan kita dan 1 salinan untuk dimajukan kepada peguam.

9. Buat temu janji dengan peguam untuk sesi menandatangani perjanjian jual beli.

Siap.

Biasanya selepas kita tandatangan perjanjian, kita terpaksa menunggu sehingga 3 bulan untuk memperoleh kunci rumah daripada pemaju. Setelah itu juga, akan ada pemotongan dalam slip gaji pada bulan berikutnya. Kalau sign bulan Julai, maka bulan Oktober pemaju akan serah kunci. Pada bulan November, slip gaji akan ada potongan LPPSA.

Total keseluruhan permohonan daripada tarikh saya daftar masuk SPPB sehingga mendapat email kelulusan LPPSA adalah lebih tiga (3) bulan. Ini adalah kerana beberapa kesilapan tertinggal dokumen sokongan dan beberapa faktor lain. Mungkin ada pemohon lain mempunyai pengalaman berbeza.

Semoga bermanfaat.

Bagaimana Cara Membeli Syiling Kijang Emas di Maybank?

Mungkin ramai antara kita yang berminat atau sedang berjinak-jinak untuk membeli syiling emas. Tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan ...