Friday, January 25, 2019

Erti Kehidupan

Setiap orang yang lahir di dunia ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Sama ada kulit yang berwarna cerah atau gelap. Sama ada mata yang berwarna biru atau coklat. Sama ada rambut yang berwarna hitam atau perang. Sama ada yang mempurna anggota sempurna atau tidak. Sama ada yang berjantina lelaki atau wanita. Semuanya telah ditakdirkan untuk terlahir ke dunia. Daripada jutaan benih yang berlumba-lumba menjadi pilihan untuk disenyawakan dengan pasangannya, kita adalah benih yang satu-satunya berjaya dipilih untuk disenyawakan dan diberikan peluang untuk lahir ke dunia. Itulah manusia. Fitrahnya kita sentiasa mengejar dan berlumba-lumba.

Tidaklah dapat dipastikan mengapa manusia telah berubah semangat berlumba-lumba setelah lahir keluar daripada rahim ibu mereka. Ada yang semakin rancak berlumba. Ada yang masih sama. Tidak laju atau perlahan. Ada juga yang tidak bersemangat lagi berlumba. Berlumba mengejar harta, bekalan, simpanan, jawatan, kekuasaan, dan perhatian. Fitrahnya manusia.

Bila difikir-fikirkan kembali, adakah erti hidup seorang manusia itu adalah untuk berlumba? iaitu berlumba-lumba mengejar perkara-perkara yang telah saya sebutkan tadi. Ataukah ada erti yang lain?

Disebutkan dalam kitab suci umat Islam iaitu Al-quran bahawa:

“Ketahuilah, sesungguhanya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam – tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu”. (QS. Al – Hadid : 20)
Disebutkan juga dalam ayat lain:

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku”. (Qs. adz-Dzariyaat :56)
Dalam surah Al-Hadid, telah disebutkan perkataan "takasur" atau "berlumba untuk memperbanyakkan" membuktikan bahawa sesungguhnya fitrah manusia adalah sentiasa berlumba-lumba. Ada banyak sebab untuk mereka berlumba, sama ada anak, harta atau sebagainya. Tetapi dengan secara jelas Allah memberitahu kita bahawa apa yang kita kejar hanyalah semata-mata palsu atau fatamorgana (iaitu bersifat khayalan).

Nah, bagaimana kita mahu memberi erti yang sebenarnya kepada kehidupan kita. Kita, sebagai muslim sangat beruntung kerana kita telah dianugerahkan dengan kitab panduan yang lengkap tentang bagaimana hendak menjalani kehidupan. Itulah yang kita sebut sebagai "cara hidup". Islam sebagai cara hidup.

oleh: Aibi Rahim.

Wednesday, January 2, 2019

Selamat Tahun Baru 2019


The good, the bad and the ugly. Semua kisah gembira dan sebaliknya berlaku sepanjang tahun 2018. Seperti biasa, agak skeptikal kalau hendak menyebut "azam". Bertanyalah seseorang, bagaimana pencapaian azam yang lalu? dan apakah azam tahun baharu pula? Pertanyaan seperti ini yang membuatkan perasaan annoying dalam kotak fikir kita. Tapi, saya mengikut tradisi orang kita sahaja. Kene ada azam juga. Ambil sisi positifnya. Azam ini perlu juga pada pandangan saya.

Secara peribadi, saya memang mempunyai "azam" juga. Setiap tahun, saya akan sediakan Wishlist. Melalui Wishlist ini, saya akan membuat perancangan tahunan, bulanan atau mingguan. Saya memang seorang yang begitu. Saya tidak pernah memberitahu sesiapa mengenai Wishlist ini. Sebahagiannya saya akan kongsi juga. Hanya sekadar untuk mencipta external forces. Iaitu pihak lain yang akan mencetus paksaan atau mengingatkan akan Wishlist kita. Sebagai contoh: Saya berniat untuk menunaikan Solat Sunat Dhuha pada setiap hari. saya akan maklumkan kepada rakan terdekat. Jadi pada setiap hari bekerja, akan ada rakan-rakan yang akan mengingatkan kita "dah solat Dhuha ke hari nie?" dan begitulah seterusnya.

Setiap akhir tahun juga, saya akan menilai kembali Wishlist bagi tahun tersebut. Berapa banyak azam yang telah disempurnakan. Berapa banyak juga yang gagal disempurnakan. 

Bagi Wishlist tahun 2018, saya ada 11 azam yang utama. Daripada 11 azam itu, hanya satu sahaja yang berhasil. Manakala selebihnya saya tidak berjaya sempurnakan. Ada juga azam yang terpaksa dipinda disebabkan faktor-faktor luar yang tidak dapat dielakkan. Selain itu, ada azam yang terpaksa digantikan dengan perkara lain kerana faktor prioriti. Ada juga azam yang tidak berjaya disempurnakan kerana tidak cukup usaha dilaksanakan. Yang tidak berjaya inilah yang menggambarkan adakah saya telah berusaha sepenuh daya atau tidak. Itulah gambarannya.

Bagi tahun 2019 pula, saya telah sediakan Wishlist yang mempunyai 7 bahagian iaitu agama, tabungan, hutang, aset baharu, buku, kesihatan dan kemahiran. Dengan adanya Wishlist ini, kita sendiri dapat menyusun keutamaan (prioriti) dalam perbelanjaan, kita dapat mengetahui dengan jelas apa yang hendak kita capai dalam tempoh masa pendek atau panjang.

InsyaAllah, semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mencapai apa yang kita usahakan serta meneruskan kehidupan dengan hari ini menjadi lebih baik daripada semalam dan tahun ini akan menjadi lebih baik dari tahun lalu.

Selamat tahun baru 2019. Fighting!


Thursday, September 28, 2017

Liberalisme: Di antara Kebebasan dan Kebabasan

AKHIR-AKHIR ini kalangan anti Islam atau nama glamornya kumpulan liberal, menunjukkan kesombongan mereka menentang Syariat Allah, sehingga dalam urusan perkara wajib, halal dan haram dengan menolaknya bagi memuaskan nafsu semata-mata, berpandukan slogan kebebasan atau liberalisme tanpa perhitungan akal manusia yang waras. Namun merasakan diri mereka sangat bijak.

Segala bahasa daripada semua bangsa yang berakal waras dalam dunia menafsirkan kebebasan itu adalah boleh melakukan apa sahaja mengikut sempadan naluri masing-masing dengan selamat. Apabila terkeluar daripadanya menjadikan tidak selamat yang disebut sebagai terbabas dan terjerumus kepada kemusnahan, bukan lagi kebebasan yang asalnya bermaksud positif.

Kita lihat binatang tanpa akal melakukan aktiviti kehidupan secara fitrah (naluri) mengikut kebebasan dalam had sempadan naluri dan sifat kebinatangannya. Haiwan air hidup di atas konsep kebebasan dengan tidak melompat ke daratan untuk hidup, begitu juga haiwan daratan tidak terjun untuk hidup di dalam air.

Apabila boleh hidup di dua alam, maka sifatnya sangat jelek. Binatang yang hidup dalam air terlompat ke darat dan mati atau yang di darat terhumban ke dalam air dan mati, ini disebut binatang itu sudah terbabas daripada kawasannya. Oleh kerana makhluk itu tidak berakal, maka peraturan pilihan secara akal tidak diwajibkan kepadanya.

Adapun manusia yang berakal, ada undang-undang naluri yang sama tanpa mengira bangsa dan agamanya. Namun ditambah dengan peraturan agama dan undang-undang serta hukum yang berkait dengan akal dan fitrah serta naluri bagi mengawal supaya tidak terkeluar daripada sempadan naluri dan merosakkan sifat kemanusiaannya dari segi individu dan bermasyarakat.

Dalam fitrah yang sama di antara lelaki dan wanita, ada hukum dan undang-undangnya sama seperti hukum halal dan haram dalam perkara makan dan minum. Tetapi dalam naluri dan peranannya yang berbeza, maka hukumnya juga berbeza, seperti hukum yang berkait dengan pusaka dan aurat yang berbeza di antara lelaki dan wanita.

Selain itu, perkara urusan penjagaan anak di antara ibu dan bapa, ada perkara yang sama dan ada peranan yang berbeza. Ini menunjukkan ada hukum yang sama dan ada hukum yang berbeza.

Kadang-kadang terdapat kemampuan yang berbeza, maka hukumnya juga berbeza, kerana haram membebankan seorang itu dengan sesuatu yang di luar kemampuan sifat nalurinya atau kemampuan lahiriahnya. Ini kerana setiap individu mempunyai tahap tenaga yang berbeza, maka tidak seharusnya di atas konsep persamaan diletakkan bebanan yang sama berat kepada yang tidak berkemampuan.

Allah S.W.T yang menciptakan seluruh alam dan makhluk manusia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui, lagi bersifat Rahmat, Bijaksana dan Adil terhadap hamba-Nya. Walaupun Allah itu Maha Kuasa, namun Allah menetapkan sempadan kepada makhluk manusia yang baligh (berusia matang) dan berakal dengan menetapkan Hukum Syariat yang menjadi sempadan bagi kebaikan mereka semua. Adapun mereka yang tidak matang dan tidak berakal yang disebut sebagai tidak mukallaf dikecualikan daripada hukuman apabila melakukan kesalahan. Kewajipan mereka dibebankan kepada penjaga di kalangan keluarga dan masyarakat.

Dalam undang-undang ciptaan manusia yang bijak juga ada sempadan bagi perjalanan hidup individu dan bermasyarakat yang boleh menggunakan akal mengikut kemampuan kebijaksanaannya.

Contohnya undang-undang jalanraya bagi mengawal keselamatan, pemandu yang berlesen bebas memandu tetapi mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Oleh itu, jika berlaku kemalangan disebabkan terbabas, maka bukannya kerana memandu dengan bebas.

Begitu juga ada had kadar muatan dan tanggungan yang berbeza yang tidak boleh disamakan, maka ada undang-undang bertindak ke atas muatan yang lebih daripada kadarnya. Kalau diizinkan di atas nama kebebasan dan persamaan, maka banyak jalan dan kenderaan yang rosak, bahkan menempah kemalangan bagi manusia.

Arak diharamkan oleh semua agama yang ada kitab petunjuk, khususnya Al-Quran. Pengharaman ini merupakan sempadan bagi memelihara kemuliaan akal dan kesihatan jasad. Semua kajian yang matang menunjukkan itulah hikmahnya. Walaupun tidak boleh menganggu penganut agama lain yang menghalalkan arak, tetapi sempadan hidup bermasyarakat hendaklah dihormati, kerana boleh menimbulkan mudarat yang lebih besar kepada masyarakat umum.

Konsep kebebasan beragama bukan bermaksud bebas mengamalkan apa sahaja yang dibenarkan tanpa mengira sensitiviti pihak lain sehingga menyebabkan ketegangan yang menghilangkan keharmonian dalam masyarakat majmuk. Menjaga kepentingan umum hendaklah diutamakan, maka wajib dilarang pesta arak supaya tidak terbabas sehingga merosakkan hubungan bermasyarakat majmuk yang lebih besar mudaratnya kalau dibiarkan. Syariat Islam menamakannya Feqah Muwazanat.

Ada perkara yang dikawal dengan lesen seperti arak bagi menetapkan sempadan kepada penagihnya sahaja mengikut agama dalam konsep kebebasan beragama. Tetapi apabila mahu disebarkan kepada umum dengan menganjurkan pesta yang terbuka dan untuk mengheret pihak lain kepadanya, maka sudah terbabas daripada sempadan.

Ada perkara haram wajib ditutup rapat, sehingga tidak boleh dilesenkan sekali-kali, yang bertepatan dengan hukum agama dan fitrah, seperti mencuri, merompak dan menyamun. Maka tidak ada negara dalam dunia mengeluarkan lesen mencuri, merompak dan menyamun di atas konsep kebebasan yang salah.

Di sana banyak maksiat yang diharamkan oleh semua agama dan hukum akal, seperti berjudi, bebas berzina, berliwat dan sebagainya. Maka kita tidak boleh mengikut dan terikut dengan negara-negara yang sudah terbabas daripada hukum semua agama, naluri dan akal, sehingga melesenkannya.

Ternyata dengan terang lagi bersuluh bahawa tidak boleh melampaui batas dalam semua perkara, termasuk dalam urusan agama dan perkara lain dalam segala urusan kehidupan manusia, kerana boleh menyebabkan kemusnahan diri dan masyarakat. Maka tidak boleh diizinkan kalangan pelampau yang memainkan slogan di atas nama kebebasan, kerana pengertiannya salah dari segi bahasa, agama dan budaya. Tegasnya adalah kerana mereka terbabas daripada sempadan kehidupan manusia dan itu bukan kebebasan yang sebenarnya.

Islam bukan sahaja mengharamkan pelampau individu, bahkan juga mengharamkan negara yang menggunakan senjata pemusnah terhadap manusia dan alam sekitar. Walaupun di atas nama jihad, ianya di luar takrif jihad yang sebenarnya sangat murni dan mulia.

Apabila sudah membunuh orang awam yang tidak berdosa, atau pun menyasarkan serangan di tempat maksiat yang diharamkan oleh agama Islam, tindakan itu sebenarnya melampaui sempadan agama yang berkonsepkan wasatiyah (kesederhanaan), keadilan dan hikmah. Tegasnya, mencegah kemungkaran juga diharamkan sekiranya mencetuskan kemungkaran yang lebih besar dan lebih parah mudaratnya.

Kita wajib memahami dengan akal yang betul terhadap perbezaan di antara hak kebebasan manusia dan makhluk yang bermasyakat madani dengan kebebasan binatang di rimba belantara dan tidak bermasyarakat madani. Namun, malangnya ada manusia yang berkonsepkan haiwan yang tidak berakal, seperti dinyatakan oleh firman Allah:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩ الأعراف.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-Aaraf: 179)

Terpulang kepada masing-masing, sama ada memilih kebebasan tanpa sempadan, atau mengikut sempadan kejadiannya yang ditetapkan oleh Tuhan Pencipta alam, masyarakat dan alam sekitar. Adalah salah berdasarkan perhitungan agama dan akal yang waras menganggap bahawa yang terbabas melanggar sempadan itu adalah kebebasan mengikut tafsirannya.

Lebih malang kalau sehingga tidak percaya pula adanya keputusan bagi manusia selepas kematian kerana tidak percaya kepada Allah dan melawan Tuhan yang menciptakannya dan alam seluruhnya.

Binatang juga ada sempadan tabiinya. Maka tidak ada undang-undang yang adil boleh mengizinkan binatang dan manusia yang berlagak seperti binatang itu melakukan sebebasnya di atas nama kebebasan sehingga merosakkan makhluk yang lain di sekelilingnya. Tuhan Pencipta berhak menghukum sesiapa sahaja yang melawan ciptaannya.

Allah Pencipta Alam yang Maha Bijaksana dan Maha Adil terhadap makhluknya, terus membuka pintu taubat seluas-luasnya, dengan sifat Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Hanya kalangan manusia yang tidak sayang kepada dirinya sendiri sehingga terbabas dalam cara hidup yang menyebabkan kecelakaan di dunia dan menderita di akhirat.

Sejahtera Bersama Islam”

Oleh: ABDUL HADI AWANG

Friday, August 18, 2017

Hubungan Amal dan Rahmat Allah

SETIAP muslim beriman bahawa yang akan menyelamatkannya di akhirat nanti ialah rahmat dan kasihan belas Allah ta'ala ke atasnya. Bukan amal soleh dan bekalan yang dibawanya ke akhirat nanti yang akan menyelamatkannya. Bahkan semuanya kembali kepada kehendak Allah, kuasa dan rahmat-Nya.

Amal soleh, walau banyak mana sekalipun, ia tetap terlalu sedikit untuk menjadi tagangan syurga dan redha-Nya nanti. Nikmat Allah ke atas kita di dunia ini tak terperi dan tak terkira banyaknya. Manakala dosa dan tak bersyukurnya kita kepada-Nya juga terlalu banyak. Amal soleh tak sepadan manakala dosa pula tak tertanggung.

Justeru kita bergantung sepenuhnya kepada Allah yang sifat rahmat-Nya mengatasi sifat marah dan bengis-Nya. Sebagaimana di dunia ini manusia hidup dengan segala kemudahan dek limpah ruah rezeki dan rahmat-Nya, begitulah, bahkan apatahlah lagi manusia di akhirat nanti di mana kehidupan di sana adalah merupakan hasil dan pembalasan ke atas apa yang telah manusia lakukan di dunia ini. Di sana tiada lagi laku usaha dan amal. Manusia sepenuhnya memerlukan limpah ruah kasihan belas, rahmat dan rezeki-Nya.

Kita berusaha dengan amal soleh di dunia. Tetapi ia terlalu jauh daripada mencukupi. Justeru kita sudah pasti akan bergantung dan menagih simpati dan rahmat-Nya nanti. Jika tidak, malanglah manusia berhadapan kecelakaan dan kegagalan di hadapan Allah nanti.

Maka apa ertinya beramal soleh? Bukankah hujungnya adalah tidak cukup juga? Bukankah elok kalau kita di dunia terus berserah pada rahmat-Nya atau terus berdoa memohon rahmat-Nya nanti tanpa perlu kalut dengan amal soleh di dunia ini?

Jawaban kepada persoalan ini haruslah difahami dengan baik. Dengan kefahaman yang baik, ia akan mengharmonikan hubungan di antara amal soleh yang lakukan oleh setiap muslim dengan kerahmatan Allah yang ditagihkannya. Dengan keharmonian itu, setiap kita akan berjalan dengan penuh yakin dan tawakkal kepada-Nya.

Sekarang mari kita bertumpu kepada dua persoalan berkaitan. Pertama, bagaimana untuk beramal soleh? Kedua, bagaimana untuk mendapat rahmat Allah?

Sebenarnya soalan kedua adalah lebih baik didahulukan agar soalan pertama menjadi lebih mudah untuk dijawab. Ini kerana seperti yang saya sebutkan di atas, rahmat Allah adalah paling utama dan segala-galanya, manakala amal soleh pula hanya hadir kemudiannya.

Ya, walaupun rahmat Allah adalah hak mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, tetapi Allah sendirilah yang mengajar manusia bagaimana untuk menjemput keredhaan-Nya dan kesukaan-Nya terhadap para hamba-Nya. Apabila Allah redha, puas hati dan suka, maka datanglah rahmat dan kesian belas-Nya ke atas hamba-Nya.

Ini perihal hari akhirat. Ia hari pembalasan, bukan lagi hari ujian atau peperiksaan sebagaimana di dunia. Di dunia, rahmat Allah turun melata tanpa memerlukan timbal balas daripada manusia. Boleh berlaku di dunia, orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling kaya dan senang di dunia. Tetapi di akhirat nanti, mustahil orang yang paling jahat adalah orang yang paling dirahmati Allah. Rahmat Allah di akhirat nanti adalah untuk mereka yang terpilih sahaja.

Bagaimana menjemput rahmat dan kesian belas Allah di dunia dan akhirat? Di dunia, kesenangan atau kesukaran hidup tetap diiringi dan diselubungi rahmat-Nya manakala di akhirat nanti, kesukarannya ditukar menjadi kesenangan dengan rahmat-Nya itu.

Jawabannya adalah dengan amal soleh dan harapan positif (husnu al zhan) terhadap-Nya. Allah menanti-nanti daripada kita apa yang kita lakukan dan persembahkan kepada-Nya untuk menjadi bukti nyata betapa kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya itu. Tiada selain kita melakukan apa sahaja suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya di dunia ini.

Begitu juga dengan sangkaan baik dan harapan yang positif daripada jiwa raga kita bahawa Allah maha mendengar, melihat dan bersedia merahmati kita yang berjalan ke arah-Nya. Dengan amal soleh dan sifat positif ini, ia adalah jawaban bagaimana untuk menarik rahmat dan kasih sayang Allah di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Sekarang anda telah melihat bahawa amal soleh adalah tidak dapat tidak di dunia ini. Ia bukan nilai untuk membeli syurga dengannya, bahkan ia adalah tagangan untuk menarik kesian belas Allah ke atas kita. Apabila kasih sayang Allah sudah diperolehi, maka pembalasan ke atas amal soleh yang berbeza-beza di antara manusia akan dikira dan dihitung dengan ganjaran yang melimpah ruah. Ia adalah tanda Allah sedang melimpahkan rahmat-Nya ke atas hamba-Nya yang diredhai-Nya.

Bagaimana untuk beramal soleh? Soalan ini penting agar amal soleh adalah betul-betul amal soleh yang sah dan diterima Allah, seterusnya menarik redha dan rahmat-Nya. Ya, Allah menyebut di dalam al Quran bahawa betapa banyak manusia yang tertipu dengan amal solehnya di akhirat nanti, disangkanya menjadi tetapi hakikatnya kosong dan tertolak.

Penyelamat amal soleh adalah akidah yang benar. Penyelamat amal soleh juga adalah ketepatannya dengan ajaran al rasul sallallahu alaihi wasallam. Penyelamat amal soleh yang terakhir adalah keikhlasan kepada-Nya. Semua amal soleh yang mengandungi ketiga-tiga syarat tadi itulah yang akan diterima Allah sebagai amal soleh yang benar dan berwibawa bagi menjemput kasih sayang dan rahmat-Nya.

Pokok utama adalah akidah kita mesti sejahtera dan benar. Ia bermaksud tidak mengandungi unsur syirik kepada Allah. Kepercayaan terhadap Allah dan perkara-perkara ghaib yang menjadi milik mutlaknya mestilah tepat sebagaimana ajaran al Quran dan ajaran nabi-Nya. Jika tidak, amal soleh kita berhadapan penolakan di tempat pertama.

Perhatikan mengapa Ahlus Sunnah wal Jamaah sepakat menolak untuk memasukkan mazhab Syiah sebagai sebahagian daripada kelompok besarnya? Ya, supaya setiap muslim memahami dan menyedari bahawa mazhab Syiah mengandungi banyak pegangan yang menyalahi akidah yang sejahtera dan benar yang jika dianuti, ia boleh membatalkan amal soleh kepada Allah.

Justeru Syiah dikategorikan sebagai mazhab umat Islam yang sesat yang mesti dijauhi. Walaupun mereka adalah kelompok muslim, mereka tetap mesti diperingatkan dengan bahaya anutan mereka. Justeru meminggirkan mereka daripada kelompok besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah sebagai peringatan yang selayaknya untuk mereka selain sebagai peringatan jelas kepada seluruh muslim yang lain agar menjauhi pegangan yang salah.

Begitu juga amal soleh mestilah berdasarkan ajaran al rasul. Ia sama ada mengikuti sunnahnya atau mengikuti panduan umum yang digariskan olehnya. Amal ibadah khusus misalnya mestilah tepat sebagaimana ajarannya yang sampai kepada kita. Ibadah tidak boleh direka cipta. Ia rigid sebagaimana panduannya. Dalam perihal muamalah sesama manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut zaman dan tempat, ia mestilah tidak bersalahan dengan panduan umum yang telah ditetapkan oleh baginda.

Ia umumnya adalah berkaitan ilmu fiqh Islami yang membicarakan soal hukum hakam perbuatan setiap muslim. Ertinya, sebagai contoh, jika seorang muslim mengambil keuntungan perniagaannya melalui riba atau tipu daya jualan, amal niaganya ditolak bahkan dermanya di jalan Allah dengan keuntungannya itu juga turut ditolak. Di akhirat nanti, harapannya berkecai di hadapan amal solehnya yang hakikatnya adalah palsu dan menjadi debu-debu yang berterbangan tanpa manfaat.

Adalah pasti bahawa amal soleh yang tidak tulus ikhlas kepada Allah adalah tertolak. Allah menuntut amal soleh yang dilakukan mestilah tanpa perkongsian dengan matlamat duniawi yang lain. Solat adalah gagal dan tertolak jika ia turut bertujuan menunjuk-nunjuk kepada manusia. Begitu juga puasa, sedekah, menuntut ilmu, berpolitik dan sebagainya. Semuanya tergadai dengan keikhlasan kepada Allah.

Justeru setiap muslim mestilah menyucikan jiwanya agar bersih dan suci dengan kehambaan kepada Allah yang esa. Ia mestilah membuang penyakit-penyakit hati yang mengaburi jalannya menuju ikhlas kepada-Nya.

Kesimpulannya, amal soleh adalah usaha setiap kita untuk mencapai redha dan kasih sayang-Nya. Ia tidak mampu membeli syurga-Nya secara langsung. Syurga adalah anugerah untuk para hamba-Nya yang berjaya membuktikan kesungguhan yang benar di dunia bagi menarik kasih sayang dan rahmat-Nya dengan amal soleh yang banyak dan bernilai suci.

Marilah kita beristiqamah di atas jalan agama. Istiqamah balasannya adalah kasih sayang berterusan daripada-Nya. Tiada ketakutan dan tiada kesedihan lagi.

Oleh: YB Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Bagaimana Cara Membeli Syiling Kijang Emas di Maybank?

Mungkin ramai antara kita yang berminat atau sedang berjinak-jinak untuk membeli syiling emas. Tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan ...