AKHIR-AKHIR ini kalangan anti Islam atau nama
glamornya kumpulan liberal, menunjukkan kesombongan mereka menentang Syariat
Allah, sehingga dalam urusan perkara wajib, halal dan haram dengan menolaknya
bagi memuaskan nafsu semata-mata, berpandukan slogan kebebasan atau liberalisme
tanpa perhitungan akal manusia yang waras. Namun merasakan diri mereka sangat
bijak.
Segala bahasa daripada semua bangsa yang
berakal waras dalam dunia menafsirkan kebebasan itu adalah boleh melakukan apa
sahaja mengikut sempadan naluri masing-masing dengan selamat. Apabila terkeluar
daripadanya menjadikan tidak selamat yang disebut sebagai terbabas dan
terjerumus kepada kemusnahan, bukan lagi kebebasan yang asalnya bermaksud
positif.
Kita lihat binatang tanpa akal melakukan
aktiviti kehidupan secara fitrah (naluri) mengikut kebebasan dalam had sempadan
naluri dan sifat kebinatangannya. Haiwan air hidup di atas konsep kebebasan
dengan tidak melompat ke daratan untuk hidup, begitu juga haiwan daratan tidak
terjun untuk hidup di dalam air.
Apabila boleh hidup di dua alam, maka sifatnya
sangat jelek. Binatang yang hidup dalam air terlompat ke darat dan mati atau
yang di darat terhumban ke dalam air dan mati, ini disebut binatang itu sudah terbabas
daripada kawasannya. Oleh kerana makhluk itu tidak berakal, maka peraturan
pilihan secara akal tidak diwajibkan kepadanya.
Adapun manusia yang berakal, ada undang-undang
naluri yang sama tanpa mengira bangsa dan agamanya. Namun ditambah dengan peraturan
agama dan undang-undang serta hukum yang berkait dengan akal dan fitrah serta
naluri bagi mengawal supaya tidak terkeluar daripada sempadan naluri dan
merosakkan sifat kemanusiaannya dari segi individu dan bermasyarakat.
Dalam fitrah yang sama di antara lelaki dan
wanita, ada hukum dan undang-undangnya sama seperti hukum halal dan haram dalam
perkara makan dan minum. Tetapi dalam naluri dan peranannya yang berbeza, maka
hukumnya juga berbeza, seperti hukum yang berkait dengan pusaka dan aurat yang berbeza
di antara lelaki dan wanita.
Selain itu, perkara urusan penjagaan anak di
antara ibu dan bapa, ada perkara yang sama dan ada peranan yang berbeza. Ini
menunjukkan ada hukum yang sama dan ada hukum yang berbeza.
Kadang-kadang terdapat kemampuan yang berbeza,
maka hukumnya juga berbeza, kerana haram membebankan seorang itu dengan sesuatu
yang di luar kemampuan sifat nalurinya atau kemampuan lahiriahnya. Ini kerana
setiap individu mempunyai tahap tenaga yang berbeza, maka tidak seharusnya di
atas konsep persamaan diletakkan bebanan yang sama berat kepada yang tidak
berkemampuan.
Allah S.W.T yang menciptakan seluruh alam dan
makhluk manusia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui, lagi bersifat Rahmat,
Bijaksana dan Adil terhadap hamba-Nya. Walaupun Allah itu Maha Kuasa, namun
Allah menetapkan sempadan kepada makhluk manusia yang baligh (berusia matang)
dan berakal dengan menetapkan Hukum Syariat yang menjadi sempadan bagi kebaikan
mereka semua. Adapun mereka yang tidak matang dan tidak berakal yang disebut sebagai
tidak mukallaf dikecualikan daripada hukuman apabila melakukan kesalahan.
Kewajipan mereka dibebankan kepada penjaga di kalangan keluarga dan masyarakat.
Dalam undang-undang ciptaan manusia yang bijak
juga ada sempadan bagi perjalanan hidup individu dan bermasyarakat yang boleh
menggunakan akal mengikut kemampuan kebijaksanaannya.
Contohnya undang-undang jalanraya bagi
mengawal keselamatan, pemandu yang berlesen bebas memandu tetapi mengikut
undang-undang yang telah ditetapkan. Oleh itu, jika berlaku kemalangan
disebabkan terbabas, maka bukannya kerana memandu dengan bebas.
Begitu juga ada had kadar muatan dan
tanggungan yang berbeza yang tidak boleh disamakan, maka ada undang-undang
bertindak ke atas muatan yang lebih daripada kadarnya. Kalau diizinkan di atas
nama kebebasan dan persamaan, maka banyak jalan dan kenderaan yang rosak,
bahkan menempah kemalangan bagi manusia.
Arak diharamkan oleh semua agama yang ada
kitab petunjuk, khususnya Al-Quran. Pengharaman ini merupakan sempadan bagi
memelihara kemuliaan akal dan kesihatan jasad. Semua kajian yang matang
menunjukkan itulah hikmahnya. Walaupun tidak boleh menganggu penganut agama
lain yang menghalalkan arak, tetapi sempadan hidup bermasyarakat hendaklah
dihormati, kerana boleh menimbulkan mudarat yang lebih besar kepada masyarakat
umum.
Konsep kebebasan beragama bukan bermaksud
bebas mengamalkan apa sahaja yang dibenarkan tanpa mengira sensitiviti pihak
lain sehingga menyebabkan ketegangan yang menghilangkan keharmonian dalam
masyarakat majmuk. Menjaga kepentingan umum hendaklah diutamakan, maka wajib
dilarang pesta arak supaya tidak terbabas sehingga merosakkan hubungan
bermasyarakat majmuk yang lebih besar mudaratnya kalau dibiarkan. Syariat Islam
menamakannya Feqah Muwazanat.
Ada perkara yang dikawal dengan lesen seperti
arak bagi menetapkan sempadan kepada penagihnya sahaja mengikut agama dalam
konsep kebebasan beragama. Tetapi apabila mahu disebarkan kepada umum dengan
menganjurkan pesta yang terbuka dan untuk mengheret pihak lain kepadanya, maka
sudah terbabas daripada sempadan.
Ada perkara haram wajib ditutup rapat,
sehingga tidak boleh dilesenkan sekali-kali, yang bertepatan dengan hukum agama
dan fitrah, seperti mencuri, merompak dan menyamun. Maka tidak ada negara dalam
dunia mengeluarkan lesen mencuri, merompak dan menyamun di atas konsep
kebebasan yang salah.
Di sana banyak maksiat yang diharamkan oleh
semua agama dan hukum akal, seperti berjudi, bebas berzina, berliwat dan
sebagainya. Maka kita tidak boleh mengikut dan terikut dengan negara-negara
yang sudah terbabas daripada hukum semua agama, naluri dan akal, sehingga
melesenkannya.
Ternyata dengan terang lagi bersuluh bahawa
tidak boleh melampaui batas dalam semua perkara, termasuk dalam urusan agama
dan perkara lain dalam segala urusan kehidupan manusia, kerana boleh
menyebabkan kemusnahan diri dan masyarakat. Maka tidak boleh diizinkan kalangan
pelampau yang memainkan slogan di atas nama kebebasan, kerana pengertiannya
salah dari segi bahasa, agama dan budaya. Tegasnya adalah kerana mereka
terbabas daripada sempadan kehidupan manusia dan itu bukan kebebasan yang
sebenarnya.
Islam bukan sahaja mengharamkan pelampau
individu, bahkan juga mengharamkan negara yang menggunakan senjata pemusnah
terhadap manusia dan alam sekitar. Walaupun di atas nama jihad, ianya di luar
takrif jihad yang sebenarnya sangat murni dan mulia.
Apabila sudah membunuh orang awam yang tidak
berdosa, atau pun menyasarkan serangan di tempat maksiat yang diharamkan oleh
agama Islam, tindakan itu sebenarnya melampaui sempadan agama yang berkonsepkan
wasatiyah (kesederhanaan), keadilan dan hikmah. Tegasnya, mencegah kemungkaran
juga diharamkan sekiranya mencetuskan kemungkaran yang lebih besar dan lebih
parah mudaratnya.
Kita wajib memahami dengan akal yang betul
terhadap perbezaan di antara hak kebebasan manusia dan makhluk yang bermasyakat
madani dengan kebebasan binatang di rimba belantara dan tidak bermasyarakat
madani. Namun, malangnya ada manusia yang berkonsepkan haiwan yang tidak
berakal, seperti dinyatakan oleh firman Allah:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ
وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ
بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ
هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩ الأعراف.
“Dan sesungguhnya Kami
jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia yang
mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan
Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya
(ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih
sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-Aaraf: 179)
Terpulang kepada masing-masing, sama ada
memilih kebebasan tanpa sempadan, atau mengikut sempadan kejadiannya yang
ditetapkan oleh Tuhan Pencipta alam, masyarakat dan alam sekitar. Adalah salah
berdasarkan perhitungan agama dan akal yang waras menganggap bahawa yang
terbabas melanggar sempadan itu adalah kebebasan mengikut tafsirannya.
Lebih malang kalau sehingga tidak percaya pula
adanya keputusan bagi manusia selepas kematian kerana tidak percaya kepada
Allah dan melawan Tuhan yang menciptakannya dan alam seluruhnya.
Binatang juga ada sempadan tabiinya. Maka
tidak ada undang-undang yang adil boleh mengizinkan binatang dan manusia yang
berlagak seperti binatang itu melakukan sebebasnya di atas nama kebebasan
sehingga merosakkan makhluk yang lain di sekelilingnya. Tuhan Pencipta berhak
menghukum sesiapa sahaja yang melawan ciptaannya.
Allah Pencipta Alam yang Maha Bijaksana dan
Maha Adil terhadap makhluknya, terus membuka pintu taubat seluas-luasnya,
dengan sifat Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Hanya kalangan manusia yang
tidak sayang kepada dirinya sendiri sehingga terbabas dalam cara hidup yang
menyebabkan kecelakaan di dunia dan menderita di akhirat.
“Sejahtera Bersama
Islam”
Oleh: ABDUL HADI AWANG