SETIAP muslim beriman bahawa yang akan
menyelamatkannya di akhirat nanti ialah rahmat dan kasihan belas Allah ta'ala
ke atasnya. Bukan amal soleh dan bekalan yang dibawanya ke akhirat nanti yang
akan menyelamatkannya. Bahkan semuanya kembali kepada kehendak Allah, kuasa dan
rahmat-Nya.
Amal soleh, walau banyak mana sekalipun, ia
tetap terlalu sedikit untuk menjadi tagangan syurga dan redha-Nya nanti. Nikmat
Allah ke atas kita di dunia ini tak terperi dan tak terkira banyaknya. Manakala
dosa dan tak bersyukurnya kita kepada-Nya juga terlalu banyak. Amal soleh tak
sepadan manakala dosa pula tak tertanggung.
Justeru kita bergantung sepenuhnya kepada
Allah yang sifat rahmat-Nya mengatasi sifat marah dan bengis-Nya. Sebagaimana
di dunia ini manusia hidup dengan segala kemudahan dek limpah ruah rezeki dan
rahmat-Nya, begitulah, bahkan apatahlah lagi manusia di akhirat nanti di mana
kehidupan di sana adalah merupakan hasil dan pembalasan ke atas apa yang telah
manusia lakukan di dunia ini. Di sana tiada lagi laku usaha dan amal. Manusia
sepenuhnya memerlukan limpah ruah kasihan belas, rahmat dan rezeki-Nya.
Kita berusaha dengan amal soleh di dunia.
Tetapi ia terlalu jauh daripada mencukupi. Justeru kita sudah pasti akan
bergantung dan menagih simpati dan rahmat-Nya nanti. Jika tidak, malanglah
manusia berhadapan kecelakaan dan kegagalan di hadapan Allah nanti.
Maka apa ertinya beramal soleh? Bukankah
hujungnya adalah tidak cukup juga? Bukankah elok kalau kita di dunia terus
berserah pada rahmat-Nya atau terus berdoa memohon rahmat-Nya nanti tanpa perlu
kalut dengan amal soleh di dunia ini?
Jawaban kepada persoalan ini haruslah difahami
dengan baik. Dengan kefahaman yang baik, ia akan mengharmonikan hubungan di
antara amal soleh yang lakukan oleh setiap muslim dengan kerahmatan Allah yang
ditagihkannya. Dengan keharmonian itu, setiap kita akan berjalan dengan penuh
yakin dan tawakkal kepada-Nya.
Sekarang mari kita bertumpu kepada dua
persoalan berkaitan. Pertama, bagaimana untuk beramal soleh? Kedua, bagaimana
untuk mendapat rahmat Allah?
Sebenarnya soalan kedua adalah lebih baik
didahulukan agar soalan pertama menjadi lebih mudah untuk dijawab. Ini kerana
seperti yang saya sebutkan di atas, rahmat Allah adalah paling utama dan
segala-galanya, manakala amal soleh pula hanya hadir kemudiannya.
Ya, walaupun rahmat Allah adalah hak
mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, tetapi Allah sendirilah yang
mengajar manusia bagaimana untuk menjemput keredhaan-Nya dan kesukaan-Nya
terhadap para hamba-Nya. Apabila Allah redha, puas hati dan suka, maka
datanglah rahmat dan kesian belas-Nya ke atas hamba-Nya.
Ini perihal hari akhirat. Ia hari pembalasan,
bukan lagi hari ujian atau peperiksaan sebagaimana di dunia. Di dunia, rahmat
Allah turun melata tanpa memerlukan timbal balas daripada manusia. Boleh
berlaku di dunia, orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling
kaya dan senang di dunia. Tetapi di akhirat nanti, mustahil orang yang paling
jahat adalah orang yang paling dirahmati Allah. Rahmat Allah di akhirat nanti
adalah untuk mereka yang terpilih sahaja.
Bagaimana menjemput rahmat dan kesian belas
Allah di dunia dan akhirat? Di dunia, kesenangan atau kesukaran hidup tetap
diiringi dan diselubungi rahmat-Nya manakala di akhirat nanti, kesukarannya
ditukar menjadi kesenangan dengan rahmat-Nya itu.
Jawabannya adalah dengan amal soleh dan
harapan positif (husnu al zhan) terhadap-Nya. Allah menanti-nanti daripada kita
apa yang kita lakukan dan persembahkan kepada-Nya untuk menjadi bukti nyata
betapa kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya itu. Tiada selain kita
melakukan apa sahaja suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya di dunia ini.
Begitu juga dengan sangkaan baik dan harapan
yang positif daripada jiwa raga kita bahawa Allah maha mendengar, melihat dan bersedia
merahmati kita yang berjalan ke arah-Nya. Dengan amal soleh dan sifat positif
ini, ia adalah jawaban bagaimana untuk menarik rahmat dan kasih sayang Allah di
dunia apatah lagi di akhirat nanti.
Sekarang anda telah melihat bahawa amal soleh
adalah tidak dapat tidak di dunia ini. Ia bukan nilai untuk membeli syurga
dengannya, bahkan ia adalah tagangan untuk menarik kesian belas Allah ke atas
kita. Apabila kasih sayang Allah sudah diperolehi, maka pembalasan ke atas amal
soleh yang berbeza-beza di antara manusia akan dikira dan dihitung dengan
ganjaran yang melimpah ruah. Ia adalah tanda Allah sedang melimpahkan
rahmat-Nya ke atas hamba-Nya yang diredhai-Nya.
Bagaimana untuk beramal soleh? Soalan ini
penting agar amal soleh adalah betul-betul amal soleh yang sah dan diterima
Allah, seterusnya menarik redha dan rahmat-Nya. Ya, Allah menyebut di dalam al
Quran bahawa betapa banyak manusia yang tertipu dengan amal solehnya di akhirat
nanti, disangkanya menjadi tetapi hakikatnya kosong dan tertolak.
Penyelamat amal soleh adalah akidah yang
benar. Penyelamat amal soleh juga adalah ketepatannya dengan ajaran al rasul
sallallahu alaihi wasallam. Penyelamat amal soleh yang terakhir adalah
keikhlasan kepada-Nya. Semua amal soleh yang mengandungi ketiga-tiga syarat
tadi itulah yang akan diterima Allah sebagai amal soleh yang benar dan
berwibawa bagi menjemput kasih sayang dan rahmat-Nya.
Pokok utama adalah akidah kita mesti sejahtera
dan benar. Ia bermaksud tidak mengandungi unsur syirik kepada Allah.
Kepercayaan terhadap Allah dan perkara-perkara ghaib yang menjadi milik
mutlaknya mestilah tepat sebagaimana ajaran al Quran dan ajaran nabi-Nya. Jika
tidak, amal soleh kita berhadapan penolakan di tempat pertama.
Perhatikan mengapa Ahlus Sunnah wal Jamaah
sepakat menolak untuk memasukkan mazhab Syiah sebagai sebahagian daripada
kelompok besarnya? Ya, supaya setiap muslim memahami dan menyedari bahawa
mazhab Syiah mengandungi banyak pegangan yang menyalahi akidah yang sejahtera
dan benar yang jika dianuti, ia boleh membatalkan amal soleh kepada Allah.
Justeru Syiah dikategorikan sebagai mazhab
umat Islam yang sesat yang mesti dijauhi. Walaupun mereka adalah kelompok
muslim, mereka tetap mesti diperingatkan dengan bahaya anutan mereka. Justeru
meminggirkan mereka daripada kelompok besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah
sebagai peringatan yang selayaknya untuk mereka selain sebagai peringatan jelas
kepada seluruh muslim yang lain agar menjauhi pegangan yang salah.
Begitu juga amal soleh mestilah berdasarkan
ajaran al rasul. Ia sama ada mengikuti sunnahnya atau mengikuti panduan umum
yang digariskan olehnya. Amal ibadah khusus misalnya mestilah tepat sebagaimana
ajarannya yang sampai kepada kita. Ibadah tidak boleh direka cipta. Ia rigid
sebagaimana panduannya. Dalam perihal muamalah sesama manusia yang sentiasa
berubah-ubah mengikut zaman dan tempat, ia mestilah tidak bersalahan dengan
panduan umum yang telah ditetapkan oleh baginda.
Ia umumnya adalah berkaitan ilmu fiqh Islami
yang membicarakan soal hukum hakam perbuatan setiap muslim. Ertinya, sebagai
contoh, jika seorang muslim mengambil keuntungan perniagaannya melalui riba
atau tipu daya jualan, amal niaganya ditolak bahkan dermanya di jalan Allah
dengan keuntungannya itu juga turut ditolak. Di akhirat nanti, harapannya
berkecai di hadapan amal solehnya yang hakikatnya adalah palsu dan menjadi
debu-debu yang berterbangan tanpa manfaat.
Adalah pasti bahawa amal soleh yang tidak
tulus ikhlas kepada Allah adalah tertolak. Allah menuntut amal soleh yang
dilakukan mestilah tanpa perkongsian dengan matlamat duniawi yang lain. Solat
adalah gagal dan tertolak jika ia turut bertujuan menunjuk-nunjuk kepada
manusia. Begitu juga puasa, sedekah, menuntut ilmu, berpolitik dan sebagainya.
Semuanya tergadai dengan keikhlasan kepada Allah.
Justeru setiap muslim mestilah menyucikan
jiwanya agar bersih dan suci dengan kehambaan kepada Allah yang esa. Ia
mestilah membuang penyakit-penyakit hati yang mengaburi jalannya menuju ikhlas
kepada-Nya.
Kesimpulannya, amal soleh adalah usaha setiap
kita untuk mencapai redha dan kasih sayang-Nya. Ia tidak mampu membeli
syurga-Nya secara langsung. Syurga adalah anugerah untuk para hamba-Nya yang
berjaya membuktikan kesungguhan yang benar di dunia bagi menarik kasih sayang
dan rahmat-Nya dengan amal soleh yang banyak dan bernilai suci.
Marilah kita beristiqamah di atas jalan agama.
Istiqamah balasannya adalah kasih sayang berterusan daripada-Nya. Tiada ketakutan
dan tiada kesedihan lagi.
Oleh: YB Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz