Aqidah merupakan
suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia merupakan suatu
kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang Islam agar perjuangan
yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah
daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari betapa pentingnya
kekuatan aqidah ini kepada jatuh bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan
musuh Islam dari dulu hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat
Islam daripada ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran.
Kesinambungan daripada itulah maka kita sebagai orang yang mengaku berjuang
Islam mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan aqidah ini daripada
sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi mencapai
kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.
Definisi Aqidah
Dari segi bahasa
aqidah berasal daripada perkataan ‘aqada yang bermaksud ikatan atau simpulan
yang kukuh.
Menurut istilah
syara’: Aqidah ialah kepercayaan yang tersimpul kukuh dan teguh dalam jiwa
sehingga tidak mungkin akan terurai oleh apa jua suasana dan keadaan.
Aqidah Islamiyyah
ialah satu ikatan yang menghubungkan antara makhluk (yang dicipta) dengan Allah
sebagai Khaliq (pencipta). Ia dibina di atas Rukun Iman.
“…Dan barangsiapa
yang engkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah
memegang tali yang amat kuat dan tidak akan putus…”
(Surah Al-Baqarah :
256)
“Orang-orang Mukmin
hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka
tidak ragu-ragu...”
(Surah Al-Hujurat :
15)
“Kitab itu
(Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang
bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah :
2)
3 Unsur Utama
Aqidah
Tidak mencari Tuhan
selain Allah S.W.T
Tidak mengambil pemimpin
atau pelindung selain daripada Allah
Tidak mencari hakim
selain Allah
Perjuangan Kita
Sesungguhnya aqidah
ini wajib diperjuangkan. PERJUANGANNYA IALAH MENEGAKKAN KALIMAH ALLAH DAN
MERUNTUHKAN SEGALA KEKUFURAN. Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang hanya
menumpukan amal untuk dirinya sendiri tanpa ada hubung kait dengan masyarakat.
Aqidah ini bukan untuk dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ia juga bukan
hanya perlu diperjuangkan oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukan hanya
diperjuangkan oleh para Nabi dan Rasul atau para ulama’, bahkan seluruh umat
Islam. Sebagaimana Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut di dalam al-Quran dalam
banyak ayat tentang aqidah dan perjuangan. Disebut tentang kewajipan berada
dalam perjuangan ini seiring dengan perintah beriman kepada-Nya. Dua perkara
yang tidak dapat dipisahkan.
“Dan sesungguhnya
Kami telah mengutuskan pada tiap-tiap umat akan Rasul (untuk menyerukan)
sembahlah Allah sahaja dan jauhilah taghut.”
(Surah An-Nahl :
36)
“Kamu adalah
sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh melakukan yang
ma’ruf dan kamu melarang dari mengerjakan yang mungkar serta beriman kepada
Allah.”
(Surah Ali Imran :
110)
“Perangilah mereka
(orang-orang kafir) sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama semuanya hanyalah
untuk Allah.”
(Surah Al-Anfal
:39)
“Orang-orang Mukmin
hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka
tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta benda dan dirinya
di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Surah Al-Hujurat :
15)
“Wahai orang-orang
yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang akan
melepaskan kamu dari azab yang pedih. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan
Rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang
lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
(Surah As-Shaf :
10-11)
Perjuangan ini
adalah jihad. Aqidah dan jihad ibarat sebatang pokok yang mana aqidah sebagai
akarnya dan pucuknya adalah jihad.
Kecacatan Aqidah
Tanpa Perjuangan
Jika kita lihat
masyarakat Islam pada hari ini dapat kita lihat betapa sedikitnya golongan yang
memperjuangkan Islam. Agama dianggap hak individu. Padahal Islam bukan agama
individu, tetapi agama jamaah. Pandangan sesetengah anggota masyarakat kita,
“biarlah dia (orang yang melakukan kemungkaran). Kita jaga diri kita cukuplah”.
Mereka kedekut untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang ramai. Ini
sebenarnya aqidah yang tidak jelas. Para penjajah pada era penjajahan dahulu,
amat suka golongan macam ini. Walaupun ‘abid (orang yang kuat beribadat),
tetapi tidak ambil kisah soal orang lain, soal negara dan sebagainya. Asalkan
tidak mengganggu ibadat khususnya. Lebih malang apabila ada golongan yang
hendak memperjuangkan undang-undang Islam, politik Islam, maka akan dianggap
salah. Sedangkan kita sedia maklum tentang kewajipan amar ma’ruf dan nahi
mungkar dan kewajipan beramal dengan seluruh ajaran Islam. Tidak ada seorang
Rasul pun yang bersenang-lenang tanpa perjuangan menegakkan Islam. dan jika
tidak kerana perjuangan orang-orang terdahulu menyebarkan Islam, mungkin Islam
tidak akan sampai ke nusantara ini.
Setiap individu
Muslim wajib berjuang menegakkan Islam. lebih-lebih lagi pada saat ini di mana
tiadanya satu khilafah ataupun daulah yang melaksanakan seluruh ajaran Islam
dan menggunakannya dengan adil. Malah, ummat Islam sebahagiannya dijajah oleh
Barat dan Yahudi.
Golongan yang tidak
berjuang untuk Islam mereka juga tidak selamat. Allahu Subhanahu Wa Ta’ala
mengingatkan kita akibat meninggalkan perjuangan menegakkan agama Allah dalam
Al-Quran dalam beberapa kisah. Di sini saya memetik peristiwa pada hari Sabtu
kaum Nabi Musa a.s.
“Tanyakanlah kepada
mereka tentang negeri yang terletak berhampiran laut. Ketika mereka melanggar
perintah Allah pada hari Sabtu, ketika ikan-ikan mereka datang terapung-apung
(di muka air) pada hari Sabtu, sedangkan pada hari (yang lain) bukan hari Sabtu
tiada datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka
orang-orang fasiq. Ketika segolongan di antara mereka itu berkata: Mengapa kamu
menasihati kaum, sedang Allah akan membinasakan mereka itu atau menyiksanya
dengan seksaan yang keras? Mereka menjawab: (kami nasihati mereka itu) untuk
meminta uzur (setelah menunaikan tanggungjawab dakwah) kepada Tuhan-Mu dan
mudah-mudahan mereka itu bertakwa. Tatkala mereka melupakan apa-apa yang
diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang
kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang aniaya dengan ‘azab yang keras, disebabkan
mereka fasiq. Setelah mereka sombong (melanggar) apa yang terlarang, Kami
berfirman kepada mereka: Jadi keralah kamu serta terusir.”
(Surah Al-A’raaf :
163-166)
Dalam ayat lain,
Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut:
“Terlaknatlah
orang-orang kafir dari golongan Bani Israel melalui lisan Nabi Allah Daud dan
Isa bin Maryam, itu adalah disebabkan oleh derhaka mereka (terhadap Allah
Ta’ala) dan mereka melampau, mereka tidak mencegah kemungkaran di kalangan
mereka - itulah seburuk-buruk amalan mereka.”
Dalam sebuah hadis
diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Tidak ada dari
Nabi yang diutus dalam ummat sebelumku, kecuali dari ummatnya terdapat
orang-orang yang membelanya dan sahabat-sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan
meneladani perintahnya. Kemudian setelah itu akan datang orang-orang yang
mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang tidak
diperintahkan. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan tangannya, maka
dia mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan lisannya, maka dia
mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hatinya, maka dia
mukmin. Setelah itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji jagung.
Rasulullah SAW
telah bersabda yang bermaksud;
“Barang siapa yang
tidur dan tidak mengambil tahu ataupun mengambil berat tentang urusan
orang-orang Islam, maka dia bukanlah golongan mereka (golongan orang-orang
Islam)”.
Kecacatan
Perjuangan Tanpa Asas Aqidah Yang Kukuh
Diriwayatkan dari
Abu Musa r.a.:
Seorang Badwi
bertanya kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tentang jihad: “Orang
yang berjuang atau berperang kerana mahukan harta rampasan, orang yang
berperang kerana mahukan supaya namanya disebut, orang yang berperang kerana
menunjuk-nunjuk kepada orang, orang yang berperang kerana keberanian
semata-mata, orang yang berjuang kerana perkauman, atau kerana kekeluargaan,
ataupun kerana fanatic keturunannya, ataupun berperang kerana marah, maka
siapakah yang dikatakan berperang fi sabilillah?” Rasulullah (sallallahu
‘alaihi wasallam) menjawab: “Orang yang berperang pada jalan Allah, ialah
mereka yang berperang kerana menegakkan kalimah Allah yang Maha Suci.”
(Hadis riwayat
Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Dari Amirul
Mukminin Umar Ibnu Al-Khattab r.a. katanya:
Aku telah mendengar
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan
itu adalah (bergantung) dengan niat. Dan sesungguhnya setiap apa (yang
dilakukan oleh) manusia itu (balasannya atas) apa yang diniatkan. Maka barangsiapa
yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah
dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin
dikecapinya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka
hijrahnya itu kepada apa yang ia berhijrah kerananya.”
(Hadis riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
Kepentingan Aqidah
Terhadap Perjuangan Islam
1. Supaya jelas
matlamat perjuangan
Pejuang Islam mesti
tahu bahawa perjuangan yang sedang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah
S.W.T di mana setiap gerak kerja yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang
telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak
tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya
2. Supaya
perjuangan benar-benar ikhlas kerana Allah S.W.T
Sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari
bahasanya seorang arab badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu
bertanya:
يارسول الله! الرَّجُلُ
يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى
مَكَانُهُ؟ وفى رواية يُقَاتِلُ شَجَاعَةً و يُقَاتِلُ حَمِيَّةً , وفي رواية : يُقَاتِلُ
غَضَبًا فَمَنْ فى سبيل الله؟ فقال رسول الله : مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةُ الله
هِىَ العُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيْلِ الله
Maksudnya : Ya Rasulullah!
Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, ada pula
seseorang yang berperang dengan tujuan suapaya disebut-sebut namanya dan ada
pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat
peranannya”. Dan dalam riwayat lain “ Ada seseorang yang berperang dengan
tujuan menunjukkan keberaniannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk
membalas dendam keluarganya. Dan riwayat yang lain pula disebutkan “ Ada
seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya maka yang mana di
antara semua ini yang dianggap orang yang berperang fisabilillah?.” Rasulullah
s.a.w menjawab :” Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah
S.W.T (Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad
fisabilillah
2 kisah dalam
peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit
di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba
dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya
tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman
kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang
perkara ini lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.
Satu lagi peristiwa
iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan
berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka
parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang
kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan
kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah s.a.w
diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka
3. Supaya dapat
merasai kemanisan iman dalam perjuangan
Sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:
قَالَ الرَّسُوْلُ :
ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ
وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ
إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ
مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ
Maksudnya : Sesiapa
yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman
iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan dia
mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali
kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana
dia benci dicampakkan ke dalam api neraka
4. Supaya tidak
mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan
Firman Allah dalam ayat
146 surah Ali ‘Imran :
وكأين من نبي قــتل معه
ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين
Maksudnya : Dan
berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada
pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang
menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada
musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar
5. Supaya tidak
menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia
Sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang
Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan
mereka dan mendapat azab pedih ialah:
…. وَرَجُلٌ بَايَعَ
إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ
لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ
Maksudnya : ….dan
seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali
kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya
tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya
6. Supaya amanah
dan bertanggungjawab dalam perjuangan
قَالَ الرَّسُوْلُ :
لا دين لمن لاأمانة له
قَالَ الرَّسُوْلُ :
يا أبا ذر إنك ضعيف وأنها أمانة وأنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من آخذها بحقها
وأدى الذي عليه فيها – رواه مسلم
Maksudnya : Wahai
Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah
dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali
orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya
7. Supaya tidak
mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh Islam
فرمان الله تعالى دالم
أية 19 سورة التوبة :
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة
المسجد الحرام كمن ءامن بالله واليوم الآخر وجــهد فى سبيل الله لايستون عند الله والله
لايهدى القوم الظــلمين
Maksudnya : Adakah
mereka yang memberi minuman kepada jemaah haji dan menguruskan Masjidil Haram
kamu samakan kedudukan mereka dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan
hari akhirat serta berjihad di jalan Allah?. Mereka tidak sama kedudukannya di
sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim
8. Supaya dapat
lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan Islam
9. Supaya tahan
dalam menerima ujian dan cabaran
Firman Allah dalam
ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut :
أحسب الناس أن يتركوا
أن يقولوا آمنا وهم لايفتنون . ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا
وليعلمن الكذبين .
Maksudnya : Adakah
manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan: “ Kami telah
beriman “, sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji
orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang
yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.
10. Supaya sentiasa
muhasabah diri dalam perjuangan
Firman Allah S.W.T
dalam ayat 104 surah an-Nisa’ :
ولا تهنوا في ابتغاء
القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون
Maksudnya : Jangan
kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit
mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap
kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan
11. Sentiasa
berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
12. Supaya tidak
mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, dosa dan pahala,
ibadat dan maksiat dalam perjuangan
120 سورة االأنعام :
وذروا ظــهر الإثم وباطنه
إن الذين يكسبون الإثم سيجزون بما كانوا يفترون
Maksudnya : Dan
tinggallah dosa yang nampak dan tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang
mengerjakan dosa, kelak akan diberi balasan disebabkan apa yang mereka telah
kerjakan
Pesan Sayyidina
Umar al-Khattab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding
musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh
sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang
kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya
kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.
Perjuangan ini
hendaklah didasari dengan aqidah. Tanpa aqidah maka perjuangan menjadi batil,
sebagaimana orang-orang munafiq yang ikut Rasulullah dalam peperangan, tetapi
mereka tiada Aqidah Islamiyyah. Perjuangan sebegini tidak diterima oleh Allah.
Aqidah yang lemah
akan menyebabkan kita lemah dalam perjuangan. Kita akan mudah goyah dan juga
akan mudah terpesong dengan kehendak-kehendak dunia yang sementara apabila
aqidah kita tidak kukuh.
Penutup
Justeru, hendaklah
kita sentiasa bermuhasabah diri sejauh manakah kedudukan iman dan aqidah dalam
perjuangan kita. Di samping kita beramal secara jama’ie dan amal ijtima’ie,
jangan kita lupa untuk mendekatkan diri kepada Allah di malam hari dengan berqiamullail
dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Kita juga perlu menekankan
amalan-amalan tazkiyatunnafs (mendidik jiwa), amalan-amalan fardi (individu)
supaya kita benar-benar berjuang pada landasan aqidah. Dalamilah ilmu
aqidah/ilmu tauhid/ilmu usuluddin/ilmu kalam. Biarlah hubungan kita rapat
dengan Allah supaya perjuangan kita tidak terpesong dengan keinginan duniawi.
Tidak disekutukan dengan sesuatu dan hanya bermatlamatkan Allah. Jangan kita
terlalu asyik mengutamakan ilmu-ilmu haraki dan gerak kerja sedangkan ilmu-ilmu
fardhu ‘ain, ilmu feqah, ilmu aqidah kita tidak dalami, dan jangan pula kita
asyik dengan amalan-amalan fardi (individu) sehingga melupakan tanggungjawab
kita terhadap masyarakat. Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam perjuangan
ini hanya untuk Allahu Subhanahu Wa Ta’ala.
Aqidah mestilah
diperjuangkan,
Dan perjuangan
mestilah berteraskan aqidah.
Oleh: Almarhum Dato' Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor